ARTIKEL

Uggah (tengah) merakam gambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kraftangan Amanah Kebajikan Wanita Iban (IWCT) 2025/2026 di Hotel Riverside Majestic, di sini, hari ini.

Kraf tangan Sarawak berpotensi tembusi pasaran global

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kraf tangan tradisional Sarawak berpotensi menjadi produk berdaya saing di peringkat global sekali gus membuka banyak peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha memelihara budaya semata-mata tidak lagi mencukupi ketika ini, sebaliknya warisan budaya perlu mewujudkan peluang ekonomi kepada rakyat.

Katanya, industri kreatif termasuk kraf tangan, tekstil tradisional, seni persembahan, pelancongan budaya, kandungan digital dan perusahaan berasaskan warisan mempunyai potensi besar untuk menjana pekerjaan, melahirkan usahawan, menarik pelaburan serta mengukuhkan ekonomi luar bandar.

Uggah meluangkan masa melawat ke reruai pameran.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kraf Tangan Amanah Kebajikan Wanita Iban (IWCT) 2025/2026 di Hotel Riverside Majestic, di sini, hari ini.

Uggah menambah, beliau ingin mengemukakan satu visi mencerminkan hala tuju yang sepatutnya bagi industri kraftangan Sarawak iaitu Dari Ruai ke Dunia kerana selama bergenerasi, ruang itu menjadi nadi setiap rumah panjang Iban untuk berkongsi idea, tradisi diwariskan dan sebagainya.

Menurut beliau, masyarakat kini mesti mengubah ruang tradisional menjadi simbol di peringkat global dan Ruai ke Dunia juga bermaksud membawa kreativiti yang lahir di rumah panjang ke pentas dunia.

“Ini juga membawa maksud memastikan Pua Kumbu yang ditenun di seluruh Sarawak mendapat tempat di muzium antarabangsa, jenama gaya hidup premium, hotel mewah, rumah fesyen, festival kebudayaan dan pameran reka bentuk di seluruh dunia.

“Oleh itu, saya berharap IWCT pada masa akan datang dapat menjemput pereka fesyen antarabangsa untuk menjadi sebahagian daripada program ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Sarawak memiliki aset budaya yang unik, asli dan sukar ditiru tetapi turut berhadapan cabaran untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Jelasnya lagi, Indonesia dan Vietnam telah menunjukkan bagaimana kraftangan tradisional boleh berkembang menjadi industri kreatif yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, menjana hasil eksport yang besar dan menyokong ramai usahawan luar bandar.

“Sarawak mempunyai segala sebab untuk percaya bahawa kita juga mampu mencapai kejayaan yang sama, kita mempunyai bakat dan keaslian. Kita mempunyai kekayaan budaya – kini kita mesti memperkukuh daya saing kita,” tegasnya.

Beliau menyatakan, menurut Majlis Kraf Sarawak (SCC) penyertaan dalam acara promosi sepanjang 2025 menjana jumlah keseluruhan sebanyak RM5.9 juta – RM2.07 juta hasil jualan daripada acara di luar Sarawak, manakala RM3.83 juta hasil jualan daripada acara di negeri ini.

“Festival Etnobudaya yang diadakan baru-baru ini di Miri, jualan kraf tangan merekodkan RM670,000 dan Angka-angka ini menunjukkan keyakinan terhadap industri kraftangan negeri ini,” jelasnya.

Sementara, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada IWCT.

Selain itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula menyumbang RM30,000 serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Istiadat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat, menyumbang RM20,000.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai