ARTIKEL

Krisis iklim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

RAJA Charles III seperti dilapor agensi berita AFP memberi amaran bahawa dunia sedang “bergerak mundur dengan pantas” dalam usaha membendung perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti, dalam sebuah dokumentari Amazon Prime yang ditayangkan di Istana Windsor pada Rabu minggu lalu.

Raja Britain itu, pencinta alam sekitar sepanjang hayat yang telah menggerakkan para pemimpin dan institusi global ke arah perjuangan ini, menyeru usaha mitigasi yang lebih besar “secepat yang kita mampu”.

“Ia sedang bergerak mundur dengan pantas,” titah baginda mengenai keadaan semasa dalam filem berdurasi penuh “Finding Harmony: A King’s Vision.”

Beliau telah membangkitkan kesedaran tentang perubahan iklim dan pentingnya menjaga alam sejak 40 tahun lalu.

Beliau mengakui ramai yang tidak memahami bahawa bukan isu iklim yang menjadi masalah.

Yang tidak kurang penting ialah kehilangan biodiversiti.

Jelas, Charles, pencinta alam sekitar sepanjang hayat itu kecewa dengan kemajuan atau lebih tepat kelembapan ke arah yang beliau impikan.

“Saya hanya boleh melakukan apa yang saya mampu, yang sebenarnya tidak banyak,” titah baginda.

Memang, sebagai individu kesannya memang tidak terasa atau ketara, tetapi secara kolektif tentu ia bakal membawa kesan besar jika kita menggemblengkan inisiatif, tenaga dan usaha.

Manusia di muka bumi sudah terlambat, tetapi bukankah terlambat itu lebih baik daripada tidak mengambil tindakan langsung.

Untuk ratusan tahun manusia secara perlahan-lahan memusnahkan bumi dan alam.

Kini, mereka menerima bahana dan padahnya.

Justeru, memetik Charles, sewajarnya kita melakukannya secepat yang termampu, sebelum bahana dan impak lebih dahsyat menimpa kita.

Mungkin sebahagian daripada rakyat kita masih belum sedar akan kesan perubahan iklim terhadap kehidupan kita keseluruhannya.

Yang jelas, puluhan tahun lalu, kita hampir pasti tahu bilakah musim hujan dan bilakah pula musim panas.

Tetapi kini, dapatkah kita mengagak sedemikian?

Kini, sukar untuk menentukan musim panas dan hujan, kerana hampir sepanjang tahun hujan turun, termasuk pada bulan Ogos, yang suatu waktu dahulu pasti panas dan kering.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini dipetik berkata berpandukan komitmen terhadap pembangunan mampan dan pelepasan sifar bersih menjelang 2050, Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk memimpin dalam memerangi perubahan iklim

“Kenapa kita memilih tenaga bersih?”

“Sebabnya adalah untuk alam sekitar.”

“Saya rasa tiada siapa mahu melaksanakan sesuatu projek jika tujuannya bukan untuk membantu dan membersihkan alam sekitar.”

“Tenaga bersih sebenarnya melindungi dan memelihara alam sekitar.”

“Tujuannya adalah untuk menghapuskan karbon dalam atmosfera kerana karbon inilah punca kepada bencana hari ini,” jelasnya dalam satu majlis.

Pelbagai bencana iklim yang melanda banyak negara tentu dapat membuka mata kita.

Jika tidak ada langkah drastik dan segera diambil, generasi masa depan akan terpaksa memikul kesan negatif yang tidak sukar dibayangkan.

Seyogia diingatkan, pada November 2016, suhu di Artik direkodkan sekitar 20 darjah Celsius lebih tinggi daripada paras normal.

Ini bukanlah satu kejadian terpencil kerana pada Februari 2018, suhu di Artik sekali lagi meningkat melebihi 20 darjah Celsius daripada kebiasaan.

Secara keseluruhannya, purata suhu permukaan bumi meningkat lebih daripada 1 darjah Celsius sejak penghujung abad ke-19.

Namun, adakah peningkatan suhu sebanyak 1 darjah Celsius benar-benar memberi kesan yang besar?

Mengapakah Perjanjian Paris 2015 menyaksikan para pemimpin dunia bersungguh-sungguh untuk mengehadkan peningkatan suhu global kepada kurang daripada 2 darjah Celsius?

Bagi sebahagian kita, mungkin tidak sedar atau tahu akan kesannya kepada geopolitik, kehidupan, biodiversiti, pertanian, kehidupan petani, nelayan, kota dan desa, serta seluruh ekosistem kehidupan kita.

Peningkatan suhu global menyebabkan kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba, banjir besar, kemarau berpanjangan dan ribut taufan semakin kerap serta sukar diramal.

Keadaan ini menjejaskan kestabilan alam dan keselamatan manusia.

Bayangkan misalnya, pada tahun 2013, Uttarakhand di India menerima sebanyak 847 peratus lebih banyak hujan daripada biasa.

Lebih daripada 4000 mangsa terkorban diakibatkan banjir besar.

Bayangkan sahaja jumlah kerugian dan kos untuk membina semula segala kemudahan dan prasarana yang rosak.

Perubahan iklim mengancam kesihatan melalui peningkatan penyakit bawaan air dan vektor seperti denggi serta tekanan haba.

Kawasan pesisir pantai pula berdepan risiko kenaikan paras laut yang boleh menyebabkan hakisan pantai dan kehilangan penempatan.

Lebih banyak kota dan bandar dunia akan tenggelam.

Ini satu realiti yang perlu didepani dengan langkah konkrit.

Perubahan corak hujan dan suhu menjejaskan hasil tanaman.

Kemarau dan banjir boleh merosakkan tanaman, mengurangkan produktiviti dan seterusnya mengancam keselamatan makanan.

Petani kecil merupakan golongan paling terkesan akibat kekurangan sumber dan teknologi untuk menyesuaikan diri.

Sektor perikanan turut terjejas apabila suhu laut meningkat dan menyebabkan pemutihan terumbu karang.

Habitat ikan rosak, stok ikan berkurangan dan pendapatan nelayan terancam.

Ekosistem laut dan daratan menjadi tidak seimbang, menjejaskan rantaian makanan semula jadi.

Perubahan iklim juga mengancam biodiversiti.

Banyak spesies tumbuhan dan haiwan tidak mampu menyesuaikan diri dengan perubahan suhu dan habitat, menyebabkan kepupusan.

Kehilangan biodiversiti melemahkan daya tahan ekosistem terhadap gangguan alam.

Sumber air turut terjejas teruk apabila perubahan corak hujan menyebabkan kekurangan air bersih di sesetengah kawasan dan banjir di kawasan lain.

Ini memberi kesan kepada bekalan air domestik, pertanian dan industri.

Bagi mengatasi perubahan iklim, langkah mitigasi dan adaptasi perlu dilaksanakan.

Antaranya, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, menggunakan tenaga boleh diperbaharui, memelihara hutan, mengamalkan pertanian lestari serta meningkatkan kesedaran masyarakat.

Kerjasama global dan tindakan tempatan yang berkesan amat penting untuk memastikan kelestarian alam dan kesejahteraan generasi akan datang.

Kita tidak harus berfikiran sempit dan hanya mengutamakan kepentingan jangka pendek.

Sebaliknya, kita perlu memikirkan nasib dan masa depan generasi selepas kita.

Kita sebenarnya berhutang kepada generasi masa depan.

Jika bumi rosak, kitalah yang merosakkannya.

Maka, kita tidak harus bergerak ke belakang; sebaliknya kita perlu melaksanakan langkah mitigasi secepat yang termampu, tanpa lagi memberi alasan.

Tindakan Premier Sarawak ke arah itu selari dengan hasrat Raja Charles.

• Dato Dr Jeniri Amir kini sedang giat membaca buku tentang perubahan iklim, termasuk The Climate Change karya Mridula Ramesh.

BERITA LAIN

GPS Amalkan Politik Penawar, Utamakan Kesejahteraan Rakyat

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus membuktikan komitmennya dengan pembangunan menyeluruh dan kesejahteraan rakyat menerusi Belanjawan Sarawak 2027, sekali gus mencerminkan pendekatan pentadbiran yang

BERITA TERBARU