ARTIKEL

Krisis manusia yang semakin enggan berfikir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DUNIA sememangnya sentiasa berubah.

Setiap generasi melalui perubahan yang berbeza-beza.

Hari ini, kita pula sedang menyaksikan satu lagi perubahan besar apabila AI mula menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.

Perubahan ini membawa banyak manfaat. Banyak urusan menjadi lebih mudah.

Banyak perkara yang dahulunya mengambil masa yang lama kini boleh diselesaikan dalam hanya beberapa minit.

Kita juga semakin mudah mendapatkan maklumat, belajar perkara baharu dan berhubung antara satu sama lain.

Namun, semakin banyak kemudahan yang kita nikmati, timbul satu persoalan yang wajar direnungkan.

Apakah yang sedang berlaku kepada cara kita berfikir?

Persoalan ini bukan muncul kerana AI.

Sebenarnya, budaya enggan berfikir bukanlah sesuatu yang lahir secara tibatiba apabila AI diperkenalkan.

Ianya telah lama bermula dan AI hanyalah pemangkin yang mempercepatkanperubahan yang sedang berlaku, sekaligus menjadikan kesannya lebih ketara dalam kehidupan kita hari ini.

Jika diimbau kembali, perubahan ini berlaku sedikit demi sedikit.

Dahulu, apabila ingin mencari sesuatu maklumat, kita perlu meluangkan masa.

Kita membuka buku, membaca akhbar, menyelak majalah atau berkunjung ke perpustakaan.

Kadangkala kita tidak terus menemui jawapan yang dicari. Kita perlu membaca beberapa sumber, membandingkan pandangan dan berfikir sebelum membuat kesimpulan.

Mungkin tanpa kita sedari, proses itulah yang membentuk cara kita berfikir.

Kita bukan sekadar mencari jawapan tetapi kita belajar memahami.

Kemudian Internet mengubah banyak perkara.

Maklumat yang dahulunya sukar diperoleh kini berada di hujung jari.

Perubahan ini membuka pintu kepada ilmu yang jauh lebih luas.

Pengetahuan menjadi lebih mudah diakses dan peluang untuk belajar menjadi semakin besar.

Dalam masa yang sama, kemudahan itu juga mula mengubah tabiat kita.

Apabila jawapan menjadi semakin mudah diperoleh, kita semakin tidak biasa dengan proses mencarinya.

Pandemik COVID-19 pula mempercepatkan perubahan tersebut.

Dalam tempoh yang singkat, pembelajaran, pekerjaan dan pelbagai urusan harian berpindah ke ruang digital.

Apa yang sebelum ini mungkin mengambil masa bertahun-tahun, berlaku dalam hanya beberapa bulan.

Sejak itu, kehidupan digital bukan lagi satu pilihan. Ia menjadi sebahagian daripada rutin harian kita. Tidak lama kemudian, media sosial berkembang dengan lebih pesat. Kandungan menjadi semakin pendek.

Maklumat disampaikan dalam beberapa saat.

Kita menjadi semakin biasa menatal skrin, membaca tajuk dan bergerak pantas daripada satu kandungan kepada kandungan yang lain.

Sudah tentu semua ini membawa manfaat. Banyak ilmu dikongsikan.

Banyak idea dapat disampaikan kepada lebih ramai orang.

Namun, setiap kemudahan rupa-rupanya telah mengubah tabiat kita sedikit demi sedikit.

Apabila perhatian semakin singkat, membaca bahan yang panjang mula terasa mencabar.

Apabila semuanya bergerak dengan pantas, kita juga semakin terbiasa mahukan jawapan yang pantas.

Kemudian hadir pula AI. Dalam beberapa saat sahaja, AI mampu menyediakan ringkasan, cadangan, draf penulisan dan pelbagai bentuk jawapan.

Kemudahan ini membuka peluang yang besar kepada manusia.

Banyak urusan dapat dilakukan dengan lebih cepat dan lebih cekap.

Tugasan yang dahulunya mengambil masa berjam-jam kini boleh disiapkan dalam tempoh yang jauh lebih singkat.

Kesilapan rutin juga dapat dikurangkan, manakala lebih banyak masa dapat diberikan kepada perkara yang benar-benar memerlukan perhatian manusia.

Semua ini merupakan perkembangan yang wajar kita manfaatkan.

Persoalannya bukan sama ada AI ini baik atau buruk.

Persoalannya adalah bagaimana kita menggunakannya.

Adakah AI sekadar mempercepatkan kerja atau tanpa disedari turut memendekkan proses kita memahami sesuatu?

Membaca sebuah buku mengambil masa.

Meneliti beberapa sumber sebelum membuat kesimpulan juga mengambil masa. Menyemak semula sesuatu jawapan memerlukan usaha. Prosesproses inilah yang selama ini membentuk kefahaman, pertimbangan dan kebijaksanaan.

Apabila AI membantu kita mendapatkan jawapan dengan lebih pantas, cabaran kita bukan sekadar memanfaatkan kepantasan tersebut. Cabaran yang lebih besar adalah memastikan proses berfikir yang membentuk manusia tidak semakin dipendekkan.

Kefahaman tidak lahir daripada jawapan sematamata.

Kefahaman lahir daripada proses membaca, bertanya, membandingkan, menilai dan membuat pertimbangan.

Semua proses itu masih memerlukan manusia.

Dalam kehidupan, tidak semua persoalan mempunyai jawapan yang mutlak. Ada keputusan yang memerlukan kita menimbang baik dan buruk, melihat sesuatu daripada pelbagai sudut dan memikirkan kesannya kepada orang lain.

Keupayaan seperti inilah yang membezakan manusia daripada sekadar memiliki maklumat.

AI boleh membantu kita mendapatkan jawapan dengan pantas, tetapi pertimbangan tentang sama ada sesuatu itu wajar, adil dan bertanggungjawab masih memerlukan manusia untuk berfikir.

Sebab itulah persoalan yang lebih penting pada hari ini bukan sekadar sejauh mana AI akan menjadi semakin pintar.

Persoalannya ialah sama ada manusia masih mahu menggunakan keupayaannya untuk berfikir.

Barangkali, inilah cabaran sebenar yang sedang kita hadapi.

Bukan kerana AI semakin bijak, tetapi kerana kita semakin mudah menyerahkan proses berfikir kepada sesuatu yang dicipta untuk membantu kita.

Mungkin inilah masanya untuk kita melihat AI daripada sudut yang sedikit berbeza.

Nilai sebenar AI bukan hanya terletak pada kemampuannya menghasilkan jawapan yang pantas, tetapi pada kemampuannya membantu manusia berfikir dengan lebih baik.

AI boleh menjadi pembantu yang sangat berguna, tetapi ia tidak sepatutnya menggantikan rasa ingin tahu, pertimbangan dan kebijaksanaan yang membentuk diri seorang manusia.

Perubahan akan terus berlaku. AI juga akan terus berkembang.

Teknologi baharu akan datang dan pergi.

Namun, ada satu perkara yang tidak sepatutnya kita lepaskan.

Budaya untuk membaca.

Budaya untuk bertanya. Budaya untuk berfikir. Dalam dunia AI yang semakin memudahkan kita mendapatkan jawapan, perkara yang paling bernilai bukanlah AI yang semakin pintar.

Sebaliknya, manusia yang terus memilih untuk berfikir.

Mungkin, krisis sebenar yang sedang kita hadapi bukanlah krisis AI.

Sebaliknya, krisis manusia yang semakin enggan berfikir.

• Ts. Dr. Suhailah Mohamed Noor merupakan pendidik, penulis dan jurulatih AI yang aktif berkongsi tentang AI, pemikiran manusia serta amalan penggunaan AI secara beretika dan bertanggungjawab

BERITA LAIN

Sabah Maju Jaya 2.0

PELAN hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 (2026–2030) merupakan kesinambungan visi seorang pemimpin yang tekad membawa Sabah keluar dari kepompong kemelut lama ke arah

Tolong-menolong dalam kebaikan

PENINGKATAN tarif oleh Amerika Syarikat terhadap barangan import dari negara Asia, termasuk Malaysia, mencetuskan kesan berantai yang ketara terhadap ekonomi global. Sebagai pengeksport utama dalam

BERITA TERBARU