ARTIKEL

Tolong-menolong dalam kebaikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PENINGKATAN tarif oleh Amerika Syarikat terhadap barangan import dari negara Asia, termasuk Malaysia, mencetuskan kesan berantai yang ketara terhadap ekonomi global.

Sebagai pengeksport utama dalam sektor elektronik, perkilangan dan komponen automotif, Malaysia tidak terlepas daripada tempias perubahan dasar perdagangan antarabangsa yang bersifat proteksionis ini.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, nilai eksport negara ke Amerika Syarikat pada 2023 mencecah kira-kira RM142 bilion.

Namun, pengenaan tarif baharu oleh Washington menyebabkan penurunan permintaan terhadap barangan Malaysia, sekali gus menjejaskan kestabilan syarikat tempatan serta pasaran pekerjaan dalam negara.

Berdasarkan data Bank Negara Malaysia, kadar pengangguran yang sebelum ini menurun pada era pascapandemik mula kembali meningkat kepada 3.6 peratus pada awal 2024, khususnya dalam sektor pembuatan dan logistik yang terlalu bergantung pada pasaran eksport Amerika Syarikat.

Peningkatan tarif mengakibatkan kos pengeluaran melonjak kerana syarikat terpaksa menyesuaikan strategi operasi dalam persekitaran perdagangan yang semakin mencabar.

Kesan ini lebih dirasai oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sering memilih langkah pengurangan kos seperti pembekuan pengambilan pekerja, pemotongan waktu bekerja, pengurangan faedah, malah dalam situasi yang lebih kritikal, pembuangan pekerja.

Dari perspektif hubungan antarabangsa, pendekatan tarif ini mencerminkan falsafah ekonomi moden yang bersifat neo-merkantilisme, iaitu mengutamakan kekuatan ekonomi negara sebagai alat untuk memperluas pengaruh politik.

Era pentadbiran Trump yang sinonim dengan slogan America First digunakan secara agresif sebagai instrumen geopolitik untuk memaksa negara membangun menerima syarat perdagangan yang berat sebelah.

Negara ASEAN seperti Malaysia terpaksa berdepan rundingan yang rumit dan tidak seimbang dari segi kuasa, dengan hasil yang walaupun menurunkan kadar tarif kepada kira-kira 19 peratus, tetap berlaku dalam suasana yang sarat dengan tekanan politik dan eksploitasi kuasa besar.

Dalam konteks jangka panjang, pendekatan perdagangan sebegini menjejaskan kedaulatan ekonomi negara kerana Malaysia menjadi terlalu bergantung pada pasaran tunggal.

Ketidakseimbangan ini berpotensi menghalang negara daripada merangka dasar ekonomi yang bebas daripada pengaruh luar.

Malah, situasi ini turut menimbulkan persoalan yang lebih luas mengenai keadilan dalam sistem perdagangan global yang masih didominasi oleh kuasa besar berkepentingan.

Pandangan Islam memberikan asas yang jelas tentang keadilan ekonomi antarabangsa.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 90: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi kepada kaum kerabat dan melarang daripada perbuatan keji, mungkar dan zalim.”

Ayat ini menegaskan bahawa keadilan bukan hanya prinsip moral, malah menjadi teras keseimbangan dalam hubungan manusia, termasuk hubungan perdagangan antara negara.

Dalam sejarah Islam, Khalifah Umar al-Khattab RA menunjukkan teladan keadilan dalam urusan perdagangan dan percukaian, termasuk kepada bukan Islam, yang memastikan hak semua pihak terpelihara.

Prinsip ini boleh dijadikan panduan untuk Malaysia mengatur strategi perdagangan antarabangsa yang beretika dan bebas daripada penindasan ekonomi.

Dari sudut sosial, kesan tarif ini sangat dirasai oleh golongan belia dan remaja di Malaysia.

Ketidaktentuan pekerjaan, khususnya dalam sektor yang menjadi pintu masuk utama graduan baharu, menyebabkan ramai berdepan kesukaran membina kerjaya yang stabil.

Keadaan ini meningkatkan risiko brain drain apabila golongan profesional muda memilih untuk berhijrah ke negara yang menawarkan prospek kerjaya dan kestabilan ekonomi yang lebih baik.

Selain itu, tekanan kos sara hidup dan kekurangan peluang pekerjaan yang berkualiti boleh menjejaskan kesejahteraan mental golongan muda, sekali gus mempengaruhi motivasi, produktiviti dan semangat keusahawanan mereka.

Dalam menangani isu ini, prinsip Islam seperti al-istighna’ (berdikari) dan maslahah (kepentingan umum) menjadi relevan.

Konsep berdikari menekankan bahawa umat Islam perlu membina kekuatan ekonomi sendiri, mengurangkan kebergantungan pada kuasa asing serta memanfaatkan potensi industri tempatan.

Bagi golongan belia, hal ini boleh diterjemahkan melalui galakan terhadap keusahawanan berasaskan inovasi teknologi, penguasaan kemahiran digital dan pembangunan industri strategik seperti teknologi hijau, bioteknologi dan ekonomi halal.

Di peringkat organisasi, pengurus sumber manusia memikul tanggungjawab yang lebih kompleks dalam situasi ini.

Mereka perlu memastikan kelangsungan syarikat melalui pengurusan kos yang bijak sambil melaksanakan strategi pembangunan pekerja yang berkesan.

Latihan semula (reskilling), peningkatan kemahiran (upskilling) dan penyediaan laluan kerjaya yang fleksibel adalah langkah penting bagi memastikan tenaga kerja kekal relevan dengan perubahan landskap ekonomi global.

Dalam Islam, konsep amanah dalam pengurusan sumber manusia menuntut supaya majikan memelihara kebajikan pekerja, mengelakkan eksploitasi dan memastikan setiap individu diberikan peluang yang adil untuk berkembang.

Dari sudut strategi nasional, Malaysia dan ASEAN perlu mengurangkan kebergantungan pada pasaran tunggal dengan memperluas jaringan perdagangan ke negara yang mengamalkan prinsip keadilan ekonomi dan tidak bersifat hegemoni, seperti negara Asia Barat, Afrika dan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Hal ini sejajar dengan prinsip ta’awun (tolong-menolong dalam kebaikan) yang menekankan kerjasama saling menguntungkan antara negara.

Selain itu, pasaran domestik perlu diperkukuh melalui dasar yang menyokong PKS, menggalakkan pelaburan dalam teknologi tempatan dan meningkatkan nilai tambah dalam rantaian bekalan industri.

Bagi golongan belia, pendidikan yang bersepadu antara kemahiran teknikal dengan nilai etika Islam ialah kunci untuk membina generasi yang bukan sahaja berdaya saing dari segi ekonomi, tetapi juga berpegang pada prinsip moral yang kukuh.

Program literasi ekonomi dan digital yang berpaksikan maqasid al-shariah seperti pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta boleh membimbing mereka untuk mengurus risiko, mengelakkan penipuan dan memanfaatkan teknologi secara beretika.

Krisis tarif ini harus dilihat bukan sekadar isu dua hala antara Malaysia dengan Amerika Syarikat, tetapi sebagai manifestasi kelemahan sistem perdagangan global yang tidak adil.

Malaysia berpeluang menggunakan krisis ini sebagai titik tolak untuk membina daya tahan ekonomi, memperkukuh pasaran domestik serta mempromosikan model perdagangan antarabangsa yang lebih inklusif, beretika dan mampan.

Dengan menggabungkan strategi ekonomi jangka panjang, dasar perdagangan yang berteraskan nilai Islam serta pemerkasaan generasi muda, Malaysia bukan sahaja dapat melindungi kedaulatan ekonominya, malah berpotensi menjadi model negara membangun yang memperjuangkan keadilan dalam ekonomi global.

Tuntasnya, dalam menghadapi cabaran globalisasi baharu yang penuh ketidaktentuan, pendekatan bersepadu yang menggabungkan kekuatan teknologi, daya inovasi dan prinsip Islam ialah kunci kelangsungan serta kemakmuran Malaysia.

Golongan belia, sebagai pewaris masa depan negara, perlu diperkasa dengan ilmu, kemahiran dan nilai yang betul agar mereka bukan sahaja mampu bersaing, malah menjadi agen perubahan yang membawa Malaysia ke arah sistem ekonomi dunia yang lebih adil dan berperikemanusiaan.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU