Kronologi misi bawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China

KUALA LUMPUR: Berikut adalah kronologi misi membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Wuhan, China berikutan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di negara itu:

  • 29 Jan – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia bersedia membawa pulang rakyatnya yang berada di Wuhan jika dibenarkan oleh kerajaan China.
  • 30 Jan – Sebuah jawatankuasa khas bagi misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia dari wilayah Hubei, China itu diaktifkan berikutan jangkitan Koronavirus.
  • Jawatankuasa itu diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
  • 30 Jan – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mengisytiharkan wabak Koronavirus sebagai darurat kesihatan global.
  • 30 Jan – Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Nadma bersiap sedia untuk membawa pulang 80 rakyat Malaysia di Wuhan susulan keputusan Kabinet.
  • 31 Jan – Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin memaklumkan 117 rakyat Malaysia dikenal pasti berada di Wilayah Hubei serta sekitarnya dan kerajaan kini memberi keutamaan untuk membawa pulang mereka berikutan WHO telah mengisytiharkan penularan virus itu sebagai darurat kesihatan global.
  • 1 Feb – Kedutaan Besar Malaysia di Beijing menghantar satu pasukan peninjau ke Wuhan bagi menyelaras dan membantu proses membawa pulang rakyat Malaysia di wilayah Hubei.
  • 2 Feb – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata misi membawa pulang rakyat Malaysia dari China dengan pesawat khas AirAsia disertai enam pegawai Kementerian Kesihatan, seorang pegawai Nadma, seorang pegawai Kementerian Luar dan 12 kru penerbangan.
  • 3 Feb – Pesawat khas AirAsia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pukul 3.50 petang dan turut membawa 500,000 sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China.
  • 9.01 malam – Pesawat AK8264 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.
  • 4 Feb – Pesawat khas AirAsia yang membawa 107 rakyat Malaysia dan pasangan serta anak, enam orang pasukan peninjau, 20 anggota misi selamat mendarat di KLIA pada 6.00 pagi.
  • 8.05 pagi – Kumpulan pertama rakyat Malaysia yang tiba dari Wuhan dibawa menaiki bas untuk menjalani proses saringan di Unit Kecemasan Udara (ADU).
  • 10.32  pagi – Penumpang dan kru dibawa ke Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan dengan empat bas Jabatan Bomba dan Penyelamat.
  • Dua individu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur setelah gagal melepasi tapisan kesihatan di ADU.

Suara Sarawak