ARTIKEL

Screenshot

Kuala Lumpur tanpa POST MALONE

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Pernahkah anda berasa kecewa apabila sesuatu yang dinanti-nantikan sekian lama tiba-tiba hilang begitu sahaja? Itulah yang saya rasakan ketika ini.

Tanggal 27 September 2026 sepatutnya menjadi salah satu hari yang paling saya nantikan tahun ini.

Saya dijadualkan menonton konsert artis yang saya minati sejak zaman sekolah, Post Malone, di Stadium Nasional TM, Kuala Lumpur.

Bagi sesetengah orang, ia mungkin sekadar konsert.

Namun bagi peminat, terutama yang sudah mengikuti seseorang artis sejak bertahun-tahun, pengalaman menyaksikan persembahan secara langsung membawa nilai yang jauh lebih besar.

Ia tentang nostalgia, kenangan dan satu bentuk penghargaan terhadap muzik yang pernah menemani perjalanan hidup kita.

Malangnya, impian itu tidak kesampaian. Konsert berkenaan dibatalkan secara tiba-tiba.

Bukan sahaja persembahan di Malaysia, malah jelajah Asia Tenggara turut terjejas.

Yang paling mengecewakan ialah pengumuman pembatalan dibuat kurang sebulan sebelum tarikh konsert.

Bayangkan perasaan seseorang yang sudah berbulan-bulan menghitung hari, melihat kalendar dan membayangkan detik apabila lampu stadium dipadamkan sebelum artis kegemaran muncul di atas pentas.

Semua keterujaan itu hilang dalam sekelip mata.

Bagi saya, kekecewaan itu bukan sahaja kerana gagal menonton Post Malone.

Tiket penerbangan dan penginapan juga sudah ditempah lebih awal sejak tiket konsert mula dijual pada April lalu.

Perancangan sudah dibuat. Cuti diatur. Jadual kerja disesuaikan.

Saya percaya saya bukan seorang sahaja yang melalui keadaan itu.

Ramai peminat lain pasti berdepan situasi serupa, terutama mereka yang datang dari Sarawak dan Sabah.

Untuk menghadiri konsert di Kuala Lumpur, kami perlu memikirkan lebih daripada sekadar harga tiket konsert.

Ada kos penerbangan, penginapan, pengangkutan dan perbelanjaan lain.

Belum lagi peminat yang mungkin sudah membuat tempahan perjalanan dari negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Thailand atau negara lain. Apabila sesebuah konsert dibatalkan pada saat-saat akhir, kerugian yang dialami peminat bukan sekadar wang.

Lebih daripada itu, ada masa, tenaga dan harapan yang dilaburkan. Disebabkan tiket penerbangan dan hotel sudah ditempah, saya dan isteri mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Daripada membiarkan tiket penerbangan hangus begitu sahaja, lebih baik perjalanan itu diteruskan.

Namun, jauh di sudut hati, saya masih menyimpan sedikit harapan.

Entah mengapa, masih terlintas di  kiran bahawa mungkin akan ada perubahan saat akhir.

Mungkin konsert itu diteruskan.

Mungkin ada pengumuman baharu.

Tetapi, sudah tentu itu sekadar mimpi dan anganangan yang bermain di kepala.

Akhirnya, perjalanan yang pada awalnya dirancang untuk menyaksikan konsert bertukar menjadi percutian singkat bersama-sama isteri.

Kami bersiar-siar di sekitar Cyberjaya, Putrajaya dan Cheras.

Tiada Post Malone. Tiada sorakan puluhan ribu peminat.

Tiada pentas besar. Sebaliknya, kami sekadar menikmati masa bersama, berjalan-jalan dan melihat suasana sekitar.

Saya juga sempat membeli sepasang kasut futsal.

Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang dibawa pulang daripada perjalanan itu, selain kenangan tentang konsert yang tidak pernah berlaku.

Isnin lalu, kami kembali ke Kuching selepas perjalanan singkat selama tiga hari dua malam.

Sepanjang perjalanan pulang, saya ter kir tentang satu perkara.

Kadangkala kita terlalu yakin bahawa setiap perkara yang dirancang akan berlaku seperti yang kita harapkan.

Kita membeli tiket, menempah penerbangan, memilih hotel dan mengatur jadual seolah-olah semuanya sudah pasti.

Hakikatnya, hidup sentiasa mempunyai cara tersendiri untuk mengingatkan kita bahawa tidak semua perkara berada dalam kawalan.

Ada perkara yang kita mahu tetapi tidak dapat kita miliki.

Ada perjalanan yang dirancang untuk satu tujuan, tetapi akhirnya membawa kita ke pengalaman yang sama sekali berbeza.

Mungkin itulah pengajaran paling sederhana daripada perjalanan ini.

Kekecewaan tetap ada.

Saya masih terkilan kerana tidak dapat melihat Post Malone beraksi secara langsung.

Namun, sekurang-kurangnya perjalanan itu tidak berakhir dengan sia-sia.

Saya masih dapat meluangkan masa bersamasama isteri, melihat tempat baharu dan berehat seketika daripada rutin harian.

Kadangkala sesuatu perjalanan tidak memberikan apa-apa yang kita mahukan, tetapi tetap meninggalkan sesuatu yang kita perlukan.

Tidak mengapa.

Tahun ini masih belum berakhir.

Jika semuanya berjalan seperti dirancang, masih berbaki tiga konsert dalam senarai saya — The Weeknd, My Chemical Romance dan Simple Plan, yang masing-masing dijadualkan berlangsung pada November.

Selepas pengalaman ini, saya mungkin akan membuka e-mel pengumuman konsert dengan sedikit rasa berdebar.

Harapan tetap ada, cuma kali ini mungkin saya akan belajar untuk tidak terlalu cepat membayangkan detik berada di hadapan pentas.

Begitulah hidup.

Kadangkala kita sudah membeli tiket, menempah tempat dan bersedia untuk sebuah persembahan, tetapi tirainya tidak pernah dibuka.

Yang tinggal hanyalah pilihan sama ada terus meratapi perkara yang tidak berlaku atau meneruskan perjalanan dan mencipta cerita lain.

Cukuplah sekali kecewa.

Untuk tiga konsert seterusnya, saya cuma berharap agar pentas benar-benar menyala.

BERITA LAIN

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

Sedikit tetapi bermakna

Semasa kita masih bersekolah, persahabatan terasa seperti sesuatu yang akan kekal selamalamanya. Kita mempunyai terlalu ramai kawan sehingga kadangkala sukar untuk mengingati bila kali pertama

BERITA TERBARU