ARTIKEL

Kualiti jalan seiring pemanduan berhemah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALITI jalan raya adalah bahagian penting dalam infrastruktur negara di seluruh dunia.

Untuk menentukan negara yang mempunyai jalan raya terbaik, skor QRI atau skor Indeks Kualiti Jalan Raya diberikan kepada negara terlibat.

Penarafan QRI ditentukan selepas tinjauan dijalankan melibatkan pemimpin perniagaan dari 144 negara dan pendapat mereka berkenaan jalan raya di seluruh dunia.

Baru-baru ini, media nasional melaporkan bahawa kajian oleh laman Statistic The Global Economy menyenaraikan Malaysia di kedudukan ke-21 berdasarkan kualiti jalan tersebut.

Ia sekali gus menyangkal dakwaan beberapa pihak berkaitan kondisi jalan raya di negara kita sebelum ini.

Malah kedudukan Malaysia lebih tinggi jika dibandingkan dengan negara maju di dunia seperti Australia, United Kingdom (UK) dan New Zealand.

Walaupun Amerika Syarikat mempunyai jalan raya terbanyak di dunia, ia tidak memiliki penarafan kualiti jalan tertinggi.

Pada masa ini, negara yang mempunyai indeks kualiti jalan raya tertinggi ialah Singapura.

Negara ini mempunyai 6.10 QRI yang mengagumkan, iaitu terbaik di dunia.

Korea Selatan pula berada di tempat kedua dan mempunyai penarafan QRI 5.90.

Manakala Sepanyol, dengan 5.70 QRI, Perancis (5.40) dan Jerman, dengan penarafan 5.30 melengkapkan lima teratas.

Negara lain yang mempunyai penarafan QRI tinggi termasuk Arab Saudi dengan 5.20, Mesir dengan 5.10, Turkiye dan Kanada, masing-masing dengan 5.00, manakala negara kita pula mencatat 5.30 QRI.

Seiring dengan penambahbaikan kedudukan jalan raya di Malaysia, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berharap agar pengguna jalan raya juga dapat meningkatkan amalan pemanduan berhemah.

Langkah itu termasuklah mematuhi had laju yang ditetapkan supaya nahas kemalangan dapat dikurangkan.

Hal ini kerana memandu laju meningkatkan lagi risiko nahas dan kecederaan, malah mengurangkan keupayaan pemandu untuk mengawal kenderaan.

Sebagai contoh, jika berada di kawasan sekolah, sila patuhi had kelajuan memandu ditetapkan iaitu tidak lebih daripada 30km/j.

Biarlah lambat, asalkan kita tidak membahayakan nyawa sendiri, penumpang dan pengguna jalan raya lain.

Ketahuilah bahawa sudah terlalu banyak kes kemalangan maut berlaku akibat sikap mementingkan diri iaitu pemandu membawa kenderaan melebihi had laju.

Sebenarnya, setiap daripada kita mampu menjadi seorang pemandu yang baik, berhemah dan bertanggungjawab.

Caranya ialah dengan mengikuti setiap peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

Dengan peningkatan kualiti jalan raya negara kita, pemanduan berhemah juga perlulah seiring.

Jangan hanya jalan yang berkualiti tetapi pemandunya masih mentaliti kelas ketiga.

Buang sikap mementingkan diri sendiri ketika memandu.

Ia sangat penting bagi menjamin keselamatan sebagai pemandu dan pengguna jalan raya lain.

Semua pihak perlu bersatu hati supaya keselamatan jalan raya menjadi budaya agar tiada nyawa yang ditangisi pada kemudian hari.

BERITA LAIN

Ancaman halus dunia hiburan

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme

BERITA TERBARU