ARTIKEL

Alexander menyaksikan Ir. Jasmi menyerahkan replika kunci kepada Abd Shukor sebagai simbolik majlis penyerahan Kuarters Guna Sama Persekutuan Bintulu pada Sabtu petang.

Kuarters baharu bantu kebajikan penjawat awam Persekutuan di Bintulu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Penyediaan Kuarters Guna Sama Persekutuan di Bintulu disifatkan sebagai amat bermakna, khususnya kepada penjawat awam Persekutuan yang bertugas di daerah ini tetapi bukan berasal dari kawasan setempat, kata Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata kemudahan itu amat diperlukan memandangkan kos sara hidup di Bintulu yang tinggi, termasuk kadar sewaan rumah yang semakin meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada penjawat awam yang berkhidmat di pelbagai jabatan Persekutuan di sini.

“Projek ini sangat bermakna kepada penjawat awam Persekutuan di Bintulu kerana kita sedia maklum kos sara hidup, termasuk sewaan rumah di sini, adalah tinggi. Justeru, saya berharap kuarters ini dapat digunakan sepenuhnya dan memberi manfaat kepada mereka yang layak mendudukinya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan Kuarters Guna Sama Persekutuan Bintulu antara Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Datuk Ir. Jasmi Wahab dengan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abd Shukor Mahmood serta Pengarah Saratech Sdn. Bhd., Wilfred Chai Hung Han, di sini, Sabtu petang.

Dalam pada itu, Nanta turut berharap agar pengagihan unit kuarters berkenaan dapat dilaksanakan secara adil dan mengambil kira keperluan sebenar penjawat awam Persekutuan yang bertugas di Bintulu.

Alexander menyaksikan Wilfred Chai menyerahkan replika kunci kepada Ir. Jasmi sebagai simbolik majlis penyerahan Kuarters Guna Sama Persekutuan Bintulu pada Sabtu petang.

Beliau berkata pengalaman lalu menunjukkan terdapat kuarters yang dibina di beberapa lokasi akhirnya diduduki oleh kakitangan daripada jabatan lain, namun kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak mendapat kemudahan tersebut.

“Dengan jumlah kira-kira 90 unit yang disediakan, saya berharap sebahagiannya dapat diperuntukkan kepada kakitangan JKR yang turut memerlukan kemudahan perumahan ini,” katanya.
Projek pembinaan Kuarters Guna Sama Persekutuan Bintulu bernilai RM6.45 juta ini dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) JKR Malaysia pada 21 Oktober 2022 dan siap sepenuhnya pada 2 September lalu.

Pembinaan dilaksanakan secara reka dan bina oleh kontraktor yang dilantik, Saratech Sdn. Bhd., merangkumi kuarters Kelas F sebanyak 70 unit, kuarters Kelas G (20 unit), bilik M&E, pondok pengawal, loji rawatan kumbahan, taman permainan, sistem retikulasi, tempat letak kereta serta perabot terbina dalam.

    BERITA LAIN

    BERITA TERBARU