LEBIH dua dekad telah berlalu sejak filem legenda Kuch Kuch Hota Hai menggegarkan layar perak, namun pesonanya masih belum pudar di hati peminat filem Hindi di seluruh dunia.
Dilancarkan pada 1998, karya sulung arahan Karan Johar itu bukan sekadar mencipta fenomena pecah panggung, malah mengubah wajah sinema romantik Bollywood dengan kisah cinta segi tiga antara Rahul, Anjali dengan Tina.
Gabungan mantap tiga bintang besar iaitu Shah Rukh Khan, Kajol dan Rani Mukerji menjadikan filem ini simbol cinta, persahabatan dan kenangan remaja yang kekal segar hingga kini.
Lagu-lagunya masih diputarkan, dialognya masih diingati, dan fesyennya pernah menjadi trend global.
Kini, selepas lebih 25 tahun, nama Kuch Kuch Hota Hai kembali menjadi bualan hangat apabila Karan Johar mendedahkan barisan pelakon impiannya sekiranya filem klasik itu diterbitkan semula untuk generasi moden.
Dalam satu sesi temu bual santai di platform digital yang dihoskan oleh bekas pemain tenis terkenal Sania Mirza, Karan dengan tenang menjawab soalan mengenai siapa yang paling sesuai memegang watak utama dalam versi baharu filem tersebut.
“Saya rasa Alia Bhatt akan menjadi Anjali yang sangat hebat. Saya fikir Ranveer Singh akan menjadi Rahul yang hebat dan Ananya Panday pula akan menjadi Tina yang hebat,” katanya sambil tersenyum.
Kenyataan itu pantas mencetuskan gelombang reaksi di media sosial, dengan ramai peminat membayangkan bagaimana wajah generasi baharu Bollywood akan menghidupkan semula kisah cinta paling ikonik dalam sejarah filem Hindi.
“Dan mereka semua tak perlu banyak berlakon pun,” kata Sania, sekali gus membuatkan Karan ketawa besar sebelum menjelaskan alasannya di sebalik pemilihan tersebut.
Menurutnya, setiap pelakon memiliki karisma dan keaslian emosi yang sesuai dengan watak-watak asal.
Namun, Karan menjelaskan bahawa cadangan tersebut hanyalah impian peribadi, bukan pelan rasmi produksi.
“Ia sekadar bayangan saya, bukan projek sebenar.
Saya belum merancang untuk menghasilkan semula Kuch Kuch Hota Hai,” tegasnya.
Bagaimanapun, sumber asal daripada Bollywood Hungama menegaskan bahawa kenyataan Karan Johar ini lebih kepada perbualan santai, bukan pengumuman rasmi produksi filem.
Namun begitu, pendedahan tersebut tetap mengundang nostalgia dan perdebatan hangat dalam kalangan peminat.
Walaupun tiada pengesahan rasmi bahawa Kuch Kuch Hota Hai akan benar-benar dibuat semula, kata-kata Karan Johar membuktikan kisah tentang cinta, persahabatan dan takdir itu masih kekal relevan dan akan terus hidup di hati jutaan peminat di seluruh dunia.



