KUCHING: Kekurangan jurulatih berkualiti di Kuching menjadi antara faktor yang dilihat mengekang usaha pembangunan bakat skuasy di Sarawak, khususnya dalam melahirkan pemain elit dan pelapis baharu.
Presiden Persatuan Skuasy Sarawak (SAK), Shaukat Khan Isthiaq Khan berkata, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya dua jurulatih berkualiti untuk mengendalikan pasukan elit serta program pembangunan akar umbi.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan sokongan daripada Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) bagi menyokong agenda pembangunan sukan skuasy di negeri ini.
“Berikan kami dua jurulatih yang baik, sama ada jurulatih tempatan atau luar negara. Kalau mereka boleh bawa masuk dari Pakistan pun tidak mengapa. Berikan kami dua jurulatih dan kami boleh melahirkan lebih ramai pemain yang baik.
“Kita hendak membina dan mengembangkan sukan skuasy ini, tetapi tanpa sokongan daripada kerajaan negeri, kita tidak boleh berbuat apa-apa. Semuanya atas usaha kita sendiri,” katanya pada sidang media sempena Kejohanan Jemputan Skuasy Kuching 2026 di Kelab Sarawak, di sini, hari ini.
Shaukat Khan berkata, ketika ini hanya terdapat dua jurulatih di Kuching yang masing-masing melatih pemain elit yang memberi tumpuan kepada Sukan Malaysia (SUKMA) serta seorang jurulatih pembangunan yang sebelum ini merupakan bekas pemain skuasy SUKMA.
“Di mana jurulatih pembangunan kita sekarang? Kita tidak mempunyai jurulatih pembangunan. Jadi, bagaimana kita hendak mengembangkan pemain?” ujarnya.
Beliau menjelaskan, Kuching kini mempunyai antara 50 hingga 60 pemain skuasy dan percaya jumlah itu boleh meningkat kepada 100 orang sekiranya mendapat sokongan daripada MSNS dan SSC.
Menurutnya, pelantikan jurulatih yang berkualiti amat penting kerana mampu meningkatkan prestasi pemain serta membantu mereka melangkah lebih jauh dalam setiap pertandingan.
Katanya, ketika ini pihaknya mendapatkan khidmat jurulatih peribadi, termasuk membawa masuk jurulatih dari Pakistan dengan kos kira-kira RM1,600 bagi melatih pemain pembangunan.
Beliau berkata, kekurangan jurulatih turut menyebabkan penyertaan pemain skuasy dari Kuching dalam skuad SUKMA negeri semakin berkurangan.
“Sebab itulah anda boleh nampak, di mana pemain-pemain Kuching kita dalam SUKMA? Anda boleh semak. Tiga pemain untuk SUKMA bukannya berasal dari Kuching. Semuanya dari Miri dan Sibu sahaja. Jadi, di mana pembangunan kita?
“Anda boleh nampak. Di mana generasi kita yang seterusnya? Sekarang anak-anak kita semua berumur 15, 16 dan 17 tahun. Di mana pelapis seterusnya yang boleh masuk? Peringkat akar umbi sangat penting. Jadi tanpa perkara ini, saya rasa pihak MSNS dan SSC perlu melihat perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kejohanan Jemputan Skuasy Kuching 2026, Ishak Buji berkata, terdapat dua kelab skuasy di Kuching dan Samarahan yang berkongsi kemudahan di Pusat Skuasy Sarawak serta jurulatih bagi menjalankan program latihan pemain.
Menurutnya, sebelum ini terdapat jurulatih pembangunan dan jurulatih sparring yang membantu mengembangkan bakat pemain di peringkat akar umbi.
Bagaimanapun, kontrak salah seorang jurulatih pembangunan berakhir pada penghujung 2025, sekali gus menyebabkan kekosongan dalam struktur pembangunan jurulatih.
“Kami sebenarnya berkongsi jurulatih antara dua kelab. Sebelum ini kami mempunyai jurulatih pembangunan dan jurulatih sparring, tetapi pada penghujung 2025 kontrak jurulatih pembangunan kami tamat.
“Selepas itu, tiada lagi jurulatih yang benar-benar berkualiti untuk kami di Kuching,” katanya.
Sehubungan itu, Shaukat Khan berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dengan Persatuan Raket Skuasy Sarawak (SRAS), selain surat rasmi turut dihantar kepada MSNS dan SSC untuk perhatian.
Katanya, beliau berharap kedua-dua pihak berkenaan dapat memberikan maklum balas bagi membantu SAK menyediakan jurulatih untuk membentuk pemain elit serta memperkukuh program pembangunan akar umbi.



