ARTIKEL

Fazzrudin Abdul Rahman ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri kepada golongan asnaf anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita Matang di Dewan Serbaguna Kampung Pinang Jawa, di sini, hari ini.

Kuching City bersedia hadapi penggantungan Palmero

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kuching City FC sudah bersedia menghadapi situasi penggantungan pemain pertahanannya, Gabriel Palmero selama 12 bulan susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung rayuan kes tujuh pemain warisan.

Pengerusinya Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata pihaknya telah mengambil kira kemungkinan tersebut sejak awal perbincangan dengan pemain berkenaan untuk menjemputnya menyertai pasukan Kuching City.

Katanya, ketika itu juga mereka sudah menilai risiko sekiranya Palmero dikenakan tindakan susulan keputusan CAS dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tersebut.

“Risiko itu telah dipertimbangkan dan pelawaan kami juga setimpal dengan risiko tersebut.

Apabila perkara ini berlaku, kami juga telah berbincang semula dengan Palmero dan kerana perbincangan awal sudah dibuat, beliau memahami situasi itu serta masih bersemangat untuk terus bersama Kuching City pada masa akan datang.

“Jadi, kami juga menasihati beliau supaya kekal menjalani latihan dalam tempoh itu kerana 12 bulan sebenarnya tidaklah terlalu lama.

Saya juga memaklumkan bahawa kami sentiasa terbuka untuk menerimanya kembali selepas tamat tempoh denda nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri kepada golongan asnaf anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita Matang di Dewan Serbaguna Kampung Pinang Jawa, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kemungkinan risiko terhadap kelab susulan Palmero telah beraksi dalam perlawanan sebelum ini, Fazzrudin menambah setakat pengetahuannya keputusan tersebut hanya berkuat kuasa bermula pada tarikh keputusan dibuat dan tidak melibatkan perlawanan terdahulu.

“Tindakan itu juga tidak dikenakan secara ‘backdate’, selaras dengan kebiasaan kes-kes sebelum ini yang hanya berkuat kuasa pada tarikh keputusan diumumkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fazzrudin memaklumkan Palmero masih bersama pasukan ketika ini sementara menguruskan perjalanan untuk kembali ke Sepanyol.

“Beliau masih bersama pasukan dan kita masih menjemput beliau untuk bersama-sama pasukan utama (first team) sehingga tiba masa beliau perlu pulang ke Sepanyol atau ke Kuala Lumpur untuk menguruskan perkara berkaitan,” jelasnya.

Mengenai kontrak pemain berkenaan, Fazzrudin memberitahu pihaknya tidak dapat berkongsi butiran lanjut namun menegaskan perkara berkaitan risiko tersebut telah dibincangkan lebih awal semasa rundingan dengan pemain berkenaan.

“Apabila perkara ini berlaku, kami sudah tahu langkah seterusnya yang perlu diambil kerana semua kemungkinan itu telah dibincangkan lebih awal.

Setakat ini tiada sebarang masalah antara kelab dengan Palmero, semuanya berjalan dengan baik,” katanya lagi.

Dalam hal berkaitan, Fazzrudin menyatakan pihaknya juga tidak menolak kemungkinan kontrak baharu ditawarkan kepada pemain berkenaan selepas tempoh penggantungan berakhir.

“Itu sudah tentu dalam pertimbangan kami.

Jika kami menawarkan kontrak sekali lagi, terpulang kepada Palmero sama ada mahu menerimanya atau tidak kerana saya pasti ada juga pasukan lain yang berminat mendapatkan khidmat beliau,” ujarnya.

Untuk rekod, Kuching City FC kehilangan khidmat pemain pertahanan Gabriel Palmero selama 12 bulan selepas beliau tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Malaysia susulan keputusan CAS berhubung rayuan kes tujuh pemain warisan.

Perkara itu juga telah disahkan oleh Malaysian Football League (MFL) selepas menerima pemakluman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai keputusan badan timbang tara sukan tertinggi dunia tersebut.

Selain Palmero, tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu João Figueiredo, Jon Irazabal dan Héctor Hevel turut menerima penggantungan selama 12 bulan yang hanya melibatkan penyertaan dalam perlawanan rasmi.

BERITA LAIN

GP Malaysia 2026: Hakim Danish Raih Petak Ketiga

SEPANG: Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli meletakkan dirinya dalam kedudukan terbaik untuk memburu podium Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2026 selepas meraih petak

BERITA TERBARU