KUCHING: Kuching City FC (KCFC) mara bergaya ke suku akhir Piala FA 2026/2027 selepas membelasah Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) 5-1 dalam aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mara dengan agregat 5-1 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi pertama di Kota Bharu, minggu lalu.
Dylan Wenzel-Halls membuka akaun golnya bersama The Cats pada minit ke-10 selepas menyudahkan hantaran lintang Filemon Anyie dengan rembatan tepat ke penjuru gawang KRW FC.
KCFC kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-29 menerusi Safawi Rasid yang menyudahkan hantaran leret Joao Pedro hasil gerakan menarik Petrus Shitembi.
Bagaimanapun, perlawanan terpaksa dihentikan selama 30 minit bermula minit ke-14 selepas masalah pada tiang lampu limpah menyebabkan tahap pencahayaan stadium berada di bawah paras ditetapkan.
Aksi disambung semula pada minit ke-42 dengan 30 minit masa tambahan diberikan pada penghujung separuh masa pertama mengikut prosedur operasi standard (SOP) Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
KCFC terus menguasai permainan pada babak kedua sebelum Ronald Ngah Wanja menambah gol ketiga pada minit ke-53, sekali gus mencatat jaringan pertamanya untuk musim ini.
KRW FC bagaimanapun merapatkan kedudukan pada minit ke-67 menerusi Mazwan Mat sebelum KCFC memperoleh sepakan penalti seminit kemudian selepas Ramadhan Saifullah dijatuhkan dalam kotak penalti.
Ronald Ngah Wanja tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-71 untuk gol keduanya malam ini dan meletakkan KCFC kembali selesa 4-1.
Kaishu Yamazaki kemudian melengkapkan kemenangan KCFC dengan gol pertamanya untuk pasukan pada minit ke-80 bagi menjadikan kedudukan 5-1.
KCFC hampir menambah jaringan keenam menerusi Jerome Mpacko Etame pada minit ke-86, namun gol berkenaan dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati berlaku ofsaid.
KRW FC turut menyangka berjaya menjaringkan gol kedua pada masa tambahan menerusi Rizuan pada minit ke-92, tetapi jaringan itu turut dibatalkan kerana ofsaid.
Keputusan 5-1 kekal sehingga tamat permainan untuk mengesahkan kemaraan KCFC ke suku akhir Piala FA 2026-2027, dengan Kelantan City FC menanti sebagai lawan seterusnya.



