KUCHING: Majlis pelancaran jersi baharu pasukan Kuching City FC akan diadakan di salah sebuah pusat beli-belah terkemuka di bandar raya ini pada 16 Ogos 2026.
Jersi baharu tersebut dijangka menampilkan satu kelainan berbanding sebelum ini.
Pengerusi Kuching City FC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman menegaskan, pihaknya cuba mengimbau kembali kenangan silam pasukan terbabit.
Justeru, mereka cuba menampilkan pendekatan berkonsepkan retro yang secara tidak langsung mengimbau kenangan silam pasukan berkenaan.
“Sedikit kelainan pada jersi baharu yang akan dilancarkan pada 16 Ogos nanti apabila kita cuba menampilkan konsep retro. Ia agak menarik, itu saja yang boleh saya gambarkan,” ujar Fazzrudin ketika ditemui semalam.
Terdahulu, beliau menyeru orang ramai terutama penyokong Kuching City FC hadir beramai-ramai pada majlis pelancaran jersi baharu itu nanti.


