KUCHING: Kuching City FC selamat tiba di Korea Selatan hari ini dengan misi memburu kemenangan sulung dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 apabila berdepan Gangwon FC di Stadium Gangneung, pada Khamis, 29 Oktober ini.
Pertembungan ketiga Kumpulan H yang dijadual bermula jam 6 petang waktu Malaysia itu menjadi peluang penting bagi skuad The Cats memperbaiki kedudukan selepas hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan terdahulu.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu membuka kempen sulung ACL2 dengan kekalahan tipis 1-2 kepada Phnom Penh Crown FC di Kemboja pada 17 September lalu sebelum mencatat keputusan seri 1-1 menentang Kitchee SC dari Hong Kong di Stadium Taha Ariffin, Kuching, 15 Oktober lalu.

Keputusan tersebut menyaksikan Kuching City masih belum mencatat sebarang kemenangan dalam Kumpulan H, sekali gus menjadikan aksi menentang Gangwon sebagai medan penting untuk menghidupkan peluang mencabar dua kedudukan teratas bagi merebut tiket ke pusingan kalah mati.
Gangwon pula berdepan tekanan tersendiri selepas turut mengumpul satu mata daripada dua perlawanan, hasil keputusan seri tanpa jaringan menentang Kitchee SC sebelum tewas 1-2 kepada Phnom Penh Crown di gelanggang sendiri pada 22 Oktober lalu.

Kedudukan kumpulan ketika ini menyaksikan Phnom Penh Crown menerajui saingan dengan enam mata, diikuti Kitchee yang mengumpul dua mata, manakala Kuching City dan Gangwon masing-masing memiliki satu mata.
Justeru, kemenangan pada pertemuan Khamis ini bukan sahaja memberikan tiga mata pertama kepada salah satu pasukan, malah berpotensi mengubah kedudukan persaingan menjelang separuh kedua peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, The Cats dijangka berdepan cabaran getir apabila perlu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan persekitaran di Korea Selatan, selain menguruskan tahap kecergasan pemain selepas mengharungi jadual pertandingan domestik yang padat.
Pada Jumaat lalu, Kuching City turut mengalami kekalahan tipis 1-2 kepada Selangor FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sekali gus menambahkan tuntutan fizikal terhadap pemain menjelang perlawanan di pentas Asia.
Aidil sebelum ini mengakui beberapa pemain masih dibelenggu masalah kecergasan, termasuk Joao Pedro yang belum pulih sepenuhnya, manakala Safawi Rasid mengalami kecederaan otot hamstring ketika menentang Selangor.
Bagaimanapun, pengendali itu menegaskan jadual padat dan masalah kecederaan tidak boleh dijadikan alasan, sebaliknya mahu pemain terus mengekalkan semangat positif kerana mereka membawa cabaran bukan sahaja Kuching dan Sarawak, malah Malaysia.
Selepas pertemuan di Korea Selatan, The Cats dijadual menerima kunjungan Gangwon pada 5 November depan, sebelum meneruskan baki dua perlawanan kumpulan menentang Phnom Penh Crown dan Kitchee SC.





