KUCHING: Skuad Kuching City FC berjaya beroleh satu mata selepas mencatat keputusan seri (2-2) menentang Tampines Rovers FC aksi Kumpulan A, Kejuaraan Kelab Asia Piala Shopee 2026 di Stadium Taha Ariffin malam tadi.
Pertahanan tinggi lampai Gabriel Schme Gel Wolter Peres muncul wira ‘The Cat’ apabila menjaringkan kedua-dua gol untuk pasukannya pada minit ke-86 dan 90(+4).
Dalam keadaan kelab dari Singapura itu dua kali mengemudi pentas saingan menerusi gol dijaringkan Naberu Yoshiyaka Furusawa minit ke-13 dan Kohya Kazama minit ke-88.
Perlawanan cukup rancak diperaga pemain kedua-dua pasukan.
Bagaimanapun, anak-anak buah Mohamad Nazri Nasir dilihat lebih mendominasi perlawanan diawal babak pertama.
Serangan bertali arus dilancar dari segenap penjuru sedikit memberi tekanan kepada pasukan Kuching City.
Mereka kelihatan tersentak seketika selepas Tampines Rovers FC berjaya mendahului menerusi gol dijaringkan Naberu Yoshitaka Furusawa yang tenang melakukan penyudah depan pintu gol.
Gol tersebut tidak melemahkan sangat kesebelasan utama diturunkan Aidil Sharin Sahak meskipun kedudukan (1-0) kekal hingga ke bilik persalinan.
Sebaliknya, babak kedua yang bersambung selepas itu menyaksikan corak permainan lebih bertenaga diperaga pemain Kuching City.
Giliran mereka menguasai segenap padang menerusi serangan bertali arus dilancarkan.
Kebuntuan untuk mencari gol penyamaan terlerai selepas Gabriel Schme Gel Wolter Peres melepaskan rembatan deras dari luar petak penalti sebelum bola terkena kaki pertahanan lawan terus menerjah ke gawang untuk gol penyamaan minit ke-86.
Keceriaan tersebut tidak kelal lama apabila serangan pantas dilakukan pemain Tampines Rovers FC berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Kohya Kazama yang mudah melepaskan rembatan ke gawang dua minit selepas itu.
Tatkala barisan pemain Tampines Rovers FC sudah berkira untuk meraikan kemenangan, Gabriel Schme Gel Wolter Peres terus menjadi duri dalam daging apabila sekali lagi berjaya menjaringkan gol kedua peribadinya menerusi tandukan dilakukan sekitar empat minit masa kecederaan.
Keputusan tersebut kekal hingga ke wisel penamat.


