Kuching City terlepas lima peluang keemasan

SKUAD Kuching City FC (KCFC) sepatutnya boleh mengejutkan ‘abangnya’ Sarawak United FC (SUFC) atau sekurang-kurangnya seri dalam aksi di Stadium Hang Jebat malam kelmarin.

Namun gara-gara ketumpulan sentuhan penyudah menyebabkan mereka terlepas sekitar lima peluang keemasan.

Malah, mereka sepatunya mampu menyumbat sekurang-kurangnya dua atau tiga gol.

Penolong jurulatih KCFC, Sulaiman Hussin agak kecewa dengan situasi tersebut.

“Kami mencipta lima hingga enam peluang terbaik, berbanding SUFC (tiga peluang). Ia menghampakan kami, namun kami akan terus berusaha.

“Yang pasti, ia adalah aksi terbaik kami setakat ini, setelah melalui tiga perlawanan,” jelas Sulaiman.

Yuta Suzuki, Dzulazlan Ibrahim, Hairol Mokhtar dan Joseph Kallang Tie mempersia-siakan peluang yang terhidang.

Dalam perlawanan tersebut menyaksikan jurulatih KCFC, Irfan Bakti melakukan sedikit rombakan, di bahagian pertahanan dengan memasukkan Mazwandi Zekeria menggantikan Hairol Mokhtar.

Tiga lagi pemain di posisi tersebut ialah Ramesh Lai, Aylton Ferreira dan Dzulazlan Ibrahim.

Manakala bahagian tengah diterajui oleh Mohamad Alif bersama-sama Yuta Suzuki dan Shreen Tamby. Irfan menggunakan tiga penyerang, Joseph Kallang Tie, Shafiq dan Hudson Dias dalam formasi 4-3-3. Mohd Iqbal bertindak di benteng terakhir.

Mereka akan menghadapi satu lagi aksi getir Sabtu ini, menentang PDRM di Stadium Cheras.

 

Suara Sarawak