ARTIKEL

Kuching City uji ketahanan dalam suhu 12 darjah di Korea

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kuching City FC meneruskan persiapan dalam suhu dingin 12 darjah Celsius di Gangneung, Korea Selatan, menjelang pertemuan penting menentang Gangwon FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027, esok.

Skuad The Cats yang dikendalikan Aidil Sharin Sahak kini giat menjalani latihan untuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan persekitaran yang berbeza sebelum turun beraksi di Stadium Gangneung pada jam 6 petang waktu Malaysia.

Pertembungan ketiga Kumpulan H itu menjadi peluang kepada Kuching City untuk memburu kemenangan sulung selepas hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan terdahulu, sekali gus mengekalkan peluang bersaing merebut tiket ke pusingan kalah mati.

The Cats membuka kempen dengan kekalahan tipis 1-2 kepada Phnom Penh Crown FC di Kemboja pada 17 September lalu sebelum menahan Kitchee SC dari Hong Kong dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Taha Ariffin, Kuching, pada 15 Oktober.

Gangwon pula mengharungi permulaan yang hampir sama selepas seri tanpa jaringan menentang Kitchee sebelum tewas 1-2 kepada Phnom Penh Crown, sekali gus menjadikan pertemuan esok penting bagi kedua-dua pasukan yang masih mencari kemenangan pertama.

Selepas dua perlawanan, Phnom Penh Crown menerajui Kumpulan H dengan enam mata, diikuti Kitchee dengan dua mata, manakala Kuching City dan Gangwon masing-masing mengumpul satu mata.

Selain menyesuaikan diri dengan suhu rendah, The Cats turut berdepan cabaran mengekalkan kecergasan pemain selepas mengharungi jadual domestik yang padat, termasuk kekalahan 1-2 kepada Selangor FC pada separuh akhir pertama Piala FA, Jumaat lalu.

Aidil sebelum ini mengakui beberapa pemain masih menghadapi masalah kecergasan, termasuk Joao Pedro yang belum pulih sepenuhnya, manakala Safawi Rasid mengalami kecederaan otot hamstring ketika menentang Selangor.

Bagaimanapun, pengendali berkenaan menegaskan masalah kecederaan dan jadual padat tidak boleh dijadikan alasan, sebaliknya mahu pemain kekal positif serta memberikan komitmen terbaik kerana mereka membawa cabaran Malaysia di pentas Asia.

Selepas pertemuan di Gangneung, Kuching City dijadual menentang Gangwon sekali lagi pada 5 November depan dalam aksi keempat kumpulan, sebelum melengkapkan baki saingan menentang Phnom Penh Crown dan Kitchee SC.

BERITA LAIN

Borneo kaya sumber alam, perlu dibangun bersama

KUCHING: Sarawak menyarankan negara dan wilayah di Kepulauan Borneo berganding tenaga dalam memanfaatkan kekayaan biodiversiti dan sumber tenaga yang dimiliki sebagai pemacu pembangunan serantau, sekali

BERITA TERBARU

Umat Islam Borneo perlu perkukuh persaudaraan

KUCHING: Perbezaan sempadan negara dan wilayah tidak seharusnya menjadi penghalang kepada umat Islam di Borneo untuk memperkukuh persaudaraan serta bekerjasama meningkatkan taraf hidup masyarakat di

Borneo kaya sumber alam, perlu dibangun bersama

KUCHING: Sarawak menyarankan negara dan wilayah di Kepulauan Borneo berganding tenaga dalam memanfaatkan kekayaan biodiversiti dan sumber tenaga yang dimiliki sebagai pemacu pembangunan serantau, sekali