KUCHING: Kuching FA hanya memerlukan keputusan seri menentang Samarahan FA di Stadium Samarahan, esok, untuk mengesahkan kejuaraan Liga Premier Sarawak (LPS) 2026 Zon Selatan.
Skuad kendalian Mohammad Dzulazlan Ibrahim kini mengungguli Zon Selatan dengan 15 mata, dua mata di depan Samarahan FA yang mengumpul 13 mata selepas lima perlawanan.

Kuching FA turut memiliki rekod sempurna dengan lima kemenangan, menjaringkan 24 gol tanpa bolos, manakala Samarahan meledak 24 gol dan bolos empat.
Perlawanan minggu kelapan dijadual pada jam 3.30 petang dan menjadi penentu kedudukan teratas Zon Selatan.

Dzulazlan berkata, kemenangan 4-0 ke atas Sri Aman FA pada Sabtu lalu memberi suntikan kepada pasukannya untuk mengekalkan momentum menjelang aksi penentuan.
Menurutnya, fokus latihan minggu ini diberikan kepada aspek serangan dan pertahanan bagi menghadapi tekanan Samarahan yang perlu menang untuk merampas kedudukan teratas.

Beliau turut menjangkakan perlawanan sengit sambil menyeru penyokong kedua-dua pasukan memenuhi Stadium Samarahan bagi memeriahkan aksi penentuan itu.
“Bagi saya, perlawanan ini dijangka sangat menarik kerana kedua-dua pasukan akan mempamerkan permainan bola sepak sebenar. Insya-Allah, saya berharap kami dapat menamatkan saingan sebagai juara liga,” katanya.
Kuching FA hadir dengan lima kemenangan berturut-turut, termasuk menewaskan Betong FA 5-0, Serian FA 2-0, ATM FA 2-0 dan Sri Aman FA 4-0, manakala Samarahan kekal tanpa kalah dengan empat kemenangan dan satu seri.



