Kuching FA guna senjata baharu untuk robek Tentera

KUCHING FA bakal menggunakan senjata baharu untuk menembusi kubu Armed Forces dalam aksi Liga M3 di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching petang Sabtu ini.

Ia merupakan sebahagian daripada rombakan kecil yang melibatkan posisi serangan dan pertahanan kiri.

Ini bermakna, tonggak serangan Joseph Kallang Tie yang menyumbat kedua-dua gol ketika membenam Ultimate di Padang Pulapol dua minggu yang lalu akan direhatkan.

Menurut ketua jurulatih Kuching FA, Ideris Untong, perubahan perlu dilakukan atas faktor kecederaan dan sebagai persiapan awal untuk menghadapi Felda United dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Kuching Selasa depan.

“Joseph mengalami sedikit kecederaan pangkal peha kiri ketikan menentang Ultimate.

REBUT… Tonggak tengah Kuching, Yuta Suzuki (kiri) cuba merampas bola ketika sesi fatihan ringan. Kuching FA akan menentang Armed Forces di Stadium Negeri petang ini. Foto GHAZALI BUJANG

“Mungkin kita akan masukkannya pada babak kedua. Lagi pula Joseph amat diperlukan untuk aksi menentang Felda nanti,” katanya.

Bagi Ideris, tanpa Joseph dalam kesebelasan utama tidak begitu merisaukan kerana terdapat calon lain yang mampu memikul tugas dengan baik.

“Seperkara yang menarik tentang pasukan kali ini ialah kita mempunyai ramai pemain yang boleh beraksi dalam kesebelasan utama. Jadi kita ada banyak pilihan.

“Kadang-kadang saya pening juga… kerana sukar untuk buat pilihan, masing-masing berprestasi bagus. Oleh itu, saya membuat keputusan berdasarkan prestasi mereka ketika sesi latihan terkini,” ujarnya.

Menurut Ideris, lima pertukaran yang dibenarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk Liga M3 memberi ruang kepadanya untuk menurunkan sebanyak mungkin pemain simpanan.

“Ramai pemain boleh dimasukkan dan bagi kami, ia merupakan sesuatu yang positif, kerana ramai pemain kami yang boleh diturunkan pada bila-bila masa,” katanya.

Sementara itu, untuk perlawanan petang ini, Ideris mengarahkan anak-anak buahnya agar lebih banyak menguasai bola untuk mengimbangi rentak lasak dan agresif Armed Forces.

Suara Sarawak