Kuching FA hadapi misi sukar jumpa Felda United

DI atas kertas, Felda United berada dalam kelas tersendiri, berbanding Kuching FA yang masih dalam proses transformasi dan penyesuaian diri, ke arah saingan yang lebih kompetitif.

Dari segi reputasi, kedua-duanya terpisah jauh, Felda dalam kelompok Liga Super, sedangkan Kuching FA dalam Liga M3.

Felda disertai pemain ternama seperti S. Chanturu, Thiago Junio, Zahril Azri, Arif Fadzilah Haziq Puad, Raffi Nagoorgani dan Jasazrin Jamaludin.

Kerana itulah, perlawanan pusingan kedua Kuching FA menentang Felda di Stadium Negeri petang Selasa ini dianggap sebagai aksi yang penuh mencabar buat anak-anak buah Ideris Untong.

“Ia adalah satu perlawanan yang sukar bagi kami,” kata penolong pengurus skuad Kuching FA, Iswandi Ali Hassan.

GIGIH… Pemain Kuching FA, (dari kanan), Joseph, Sharan, Iqbal dan Remenor Pit ketika sesi latihan. Kuching FA akan menentang Felda United petang Selasa ini. Foto GHAZALI BUJANG

“Tetapi moral para pemain sekarang ini begitu tinggi… jadi saya percaya kami boleh saingi mereka.

“Lagi pun kami pernah menentang mereka sebelum ini (pada Januari) dalam aksi persahabatan (Kuching kalah 2-0),” ujarnya.

Menurut Iswandi, kekuatan Felda yang dibarisi ramai pemain handal tidak akan menggerunkan barisan Kuching FA.

Sementara itu, jurulatih Kuching FA, Ideris Untong masih menaruh harapan terhadap kesebelasan sedia ada untuk mengejutkan Felda.

Cuma apa yang pasti, Kuching akan turun tanpa pemain pertahanan, Mazwandi Zakeria (digantung) ekoran dua layangan kad kuning.

“Tiada rombakan drastik… cuma perubahan kecil,” kata Ideris.

Dua tonggak utama, Joseph Kallang Tie dan Ramesh Lai Ban Huat yang kurang cergas sebelum ini ekoran kecederaan bakal diturunkan dalam senarai utama.

Menurut Ideris, anak-anak buahnya bersiap sedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi tempo permainan serba pantas Felda. Malah mereka juga bersedia untuk menghadapi perlawanan 120 minit dan sepakan penalti.

PUSINGAN KEDUA PIALA FA

SELASA (Masuk percuma!)
Kuching FA Lwn Felda United
(Stadium Negeri, 3.30 petang)

* Jika seri sepanjang 90 minit, masa
tambahan 30 minit akan diberikan.

* Jika masih seri selepas 120 minit,
sepakan penalti akan menjadi penentu.

REKOD PERLAWANAN LALU

PIALA FA (Kelayakan)
Kuching FA (0) Lwn Armed Forces (0)
* Kuching menang penalti 4-1

PIALA FA (Pusingan Kedua)
Pemanis FC (0) Lwn Kuching FA (3)

SAINGAN LIGA M3
Ultimate (0) Lwn Kuching FA (2)
Kuching FA (1) Lwn Armed Forces (0)

AKSI PERSAHABATAN
Felda United (2) Lwn Kuching FA (0)

PENJARING (PIALA FA & LIGA M3)
2 GOL: Joseph Kallang Tie
1 GOL: Hafis Saperi, Yuta Suzuki,
Hairol Mokhtar dan Ahmad Shakri.

CAP;
GIGIH… Pemain Kuching FA, (dari kanan), Joseph, Sharan, Iqbal dan Remenor Pit ketika sesi latihan. Kuching FA akan menentang Felda United petang Selasa ini. Foto GHAZALI BUJANG

Suara Sarawak