KUCHING: Kuching FA meraih tiga mata penuh selepas menundukkan Samarahan FA 2-1 dalam aksi perlawanan yang berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya, semalam.
Pemain tengah tuan rumah, Hamirul Haidi Haida memecah kebuntuan seawal minit ke-11 menerusi percubaan jarak jauh yang menerjah gawang lawan.
Penjaga gol Samarahan sekali lagi dihukum menerusi jaringan hampir sama seperti gol pertama, kali ini dijaringkan oleh pemain tengah Ainur Aiqal Ayub pada minit ke-16.

Namun, nasib tidak menyebelahi pasukan pelawat apabila beberapa percubaan berbahaya mereka berjaya dihalang oleh jentera pertahanan tuan rumah yang dilihat lebih bertahan selepas mendahului dua jaringan.
Samarahan akhirnya berjaya merapatkan kedudukan pada awal separuh masa kedua apabila rembatan terus Izray Iffarul Roslan pada minit ke-47 gagal diselamatkan oleh Ahmad Uzair Zaidil.
Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling melancarkan asakan dalam usaha memburu jaringan.
Peluang untuk Kuching melebarkan kedudukan terhidang apabila mereka diberikan sepakan penalti selepas Hamirul Haidi dikasari di dalam kotak penalti.
Namun, peluang pada minit ke-76 itu gagal disempurnakan oleh Amirrul Iqmal apabila tendangannya melencong ke kiri gawang.
Keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus mengukuhkan kedudukan Kuching FA selaku naib juara kumpulan Zon Selatan.
Ketua Jurulatih Kuching FA, Nizam Mahmud berkata, misi utama pasukan adalah untuk meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.
“Saingan peringkat kumpulan kita belum pernah tewas, namun kita terpaksa akur apabila beberapa perlawanan berakhir dengan keputusan seri.
Alhamdulillah, kita masih dapat mengekalkan rekod tanpa kalah,” katanya.
Menurut beliau, perkembangan positif pasukan diharap dapat diteruskan menjelang pembukaan perlawanan suku akhir Liga Bola Sepak Premier Sarawak 2025.






