BANDAR raya ini sekali lagi menjadi tumpuan dunia filem apabila Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2025 kembali menyerikan kota dengan pelbagai acara industri, tayangan filem dan program kreatif yang menghimpunkan pembikin filem dari seluruh Asia Tenggara.
Kuching dipilih sebagai lokasi utama festival bukan sekadar satu tradisi, tetapi selari dengan usaha Sarawak memperkukuh sektor pelancongan kreatif dan menjadikan industri filem sebagai pemangkin ekonomi baharu negeri.
Tahun ini, penyertaan melebihi 200 filem dari negara ASEAN, sekali gus menjadikan AIFFA 2025 antara festival paling meriah dan inklusif di rantau ini.
Sepanjang festival, pelbagai program dianjurkan, termasuk bengkel penulisan skrip, klinik pengarahan, sesi perkongsian pengalaman dan platform pembentangan idea untuk pembikin filem muda.
Tahun ini juga menyaksikan pengenalan kategori baharu seperti Dokumentari Borneo dan UniFest ASEAN, yang memberi peluang kepada pelajar serta pengkarya muda untuk menonjolkan perspektif baharu dan unik.
Menurut pihak penganjur, pemilihan Kuching mencerminkan kekuatan negeri ini sebagai pusat budaya dan destinasi pilihan komuniti filem. Kepelbagaian lokasi penggambaran serta suasana masyarakat berbilang etnik menjadi nilai tambah yang membezakan AIFFA daripada festival lain.
Bagi penggiat seni tempatan, festival ini bukan sahaja platform untuk memperluas jaringan profesional, tetapi juga ruang untuk memperkenalkan karya Malaysia ke pentas serantau.
Beberapa filem tempatan, termasuk dokumentari pendek dan karya pelajar, turut tersenarai, menandakan perkembangan positif dalam ekosistem kreatif negeri.
Di tengah kemeriahan festival, tumpuan terarah kepada kehadiran pelakon legenda Hong Kong, Simon Yam, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) malam Rabu lalu. Kehadirannya, sambil mengungkapkan, “Saya cinta Kuching,” menarik perhatian ramai yang sudah lama mengikuti perjalanan seni beliau, merentas lebih 240 filem dan lebih 90 drama televisyen.
Simon, yang terkenal melalui karya seperti Election, PTU, Ip Man dan Sha Po Lang, hadir sebagai tetamu festival dan dijadualkan menyertai sesi industri serta acara malam anugerah.
Kehadirannya mengukuhkan imej AIFFA sebagai festival yang mampu menarik nama besar Asia, seterusnya meletakkan Kuching di peta penggiat filem antarabangsa.
Walaupun ketibaannya ringkas, suasana di balai ketibaan tetap meriah.
Simon melambaikan tangan dan menunjukkan keterujaan berada di Kuching, menzahirkan aura mesra serta personaliti tenangnya yang sentiasa menjadi sebahagian daripada daya tarikan beliau.
Kejayaan AIFFA tidak hanya diukur melalui anugerah, tetapi juga melalui ruang pertemuan yang diwujudkan antara artis, pembikin filem dengan peminat.
Sepanjang berada di Kuching, Simon menghadiri sesi media, tayangan terpilih serta acara rasmi festival.
Bagi penggiat filem tempatan, peluang bertemu figura Asia sepertinya bukan sekadar inspirasi, malah membuka ruang potensi kerjasama merentasi sempadan negara.
Penganjuran AIFFA 2025 menegaskan peranan Sarawak dalam perkembangan industri filem ASEAN yang semakin rancak. Kehadiran pengkarya serantau dan antarabangsa menambahkan lagi warna kepada ekosistem kreatif Borneo.
Dengan momentum yang semakin memberangsangkan serta penyertaan yang meluas, AIFFA 2025 bukan sekadar perayaan perfileman, tetapi juga cerminan kedudukan Kuching sebagai kota budaya yang mampu menganjurkan festival bertaraf antarabangsa.
Kehadiran tokoh seperti Simon Yam menjadi bukti bahawa negeri ini terus mendapat perhatian dunia dalam bidang perfileman.



