Kuching sedia bedil Batu Dua

PENDAHULU Liga M3, Kuching FA bakal mempertaruhkan penyerang tiga serangkai untuk membedil Batu Dua dalam aksi ke-11 di Kemaman, Terengganu petang ini.

Gandingan Joseph Kallang Tie, Sufizal Ismail dan Ismail Bujang akan diberi kepercayaan untuk memastikan tiga mata berada dalam genggaman.

Gandingan tersebut begitu menyerlah ketika membenam Penjara FC 3-0 Sabtu lalu apabila masing-masing menjaringkan gol.

“Kami akan meneruskan misi tiga mata. Saya optimis ia mampu dilaksanakan,” kata jurulatih, Ideris Untong.

Katanya, persiapan seperti biasa iaitu fokus kepada kecergasan dan taktikal.

“Di atas kertas Kuching dijangka mendapat tentangan sengit, namun kelebihan tetap memihak kepada Kuching.

“Bagaimanapun Kuching akan turun tanpa dua tonggak utama, Hairol Mokhtar dan Zainuddin ekoran penggantungan dan kecederaan,” ujarnya.

Untuk rekod Kuching mendahului Liga M3 dengan mencatatkan 26 mata dalam 10 perlawanan.

Kuching menang lapan kali dan seri dua kali serta dilihat memiliki penyerang yang cukup berbisa dengan meledak 26 gol setakat ini.