Kuching, Sri Aman punyai IPU sangat tidak sihat

KUCHING: Jabatan Alam Sekitar Malaysia merekodkan Kuching dan Sri Aman antara empat kawasan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat sehingga jam 6 petang hari ini.

Menurut laporan tersebut, Sri Aman dan Kuching masing-masing mencatatkan bacaan IPU sebanyak 208 dan 209 disusuli Selangor (226) dan Putrajaya sebanyak 204.

Unit Komunikasi Korporat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, Operasi Pembenihan Awan (OPA) di negeri ini tidak dapat dilakukan berikutan cuaca yang terlalu kering.

Katanya, OPA hanya berjaya dilakukan pihaknya bersama MET serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan juga Selangor.

“OPA gagal dilaksanakan di Sarawak berikutan keadaan awan dan atmosfera tidak sesuai namun pihak MET sedang meneliti tarikh yang sesuai untuk pelaksanaan seterusnya dilakukan.

“Setakat ini OPA Sarawak dijangka akan dibuat pada atau selepas 19 September ini,” jelas kenyataan itu pada hari ini.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kini sedang memantau situasi jerebu di seluruh negeri.

NADMA dalam kenyataannya berkata, JPN setiap negeri boleh mengeluarkan arahan penutupan sekolah sekiranya IPU di kawasan berkenaan mencecah bacaan 200 dan keadaan jerebu semakin teruk.

Terdahulu, Sarawak melalui JPN negeri telah menerima 500,000 topeng muka daripada Angkatan Pertahanan Malaysia oleh NADMA pada 10 September tahun ini.

Orang awam turut dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti fizikal di luar serta menggunakan topeng muka di kawasan terbuka berikutan bacaan IPU di beberapa kawasan masih di tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat.

Suara Sarawak