Kui Hian jalani kuarantin di rumah

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menjalani kuarantin di rumah kerana mempunyai kontak rapat dengan salah seorang individu positif Covid-19.
Beliau mendedahkan dirinya terdedah dengan individu tersebut pada 8 Januari lalu.
Susulan itu, beliau menjalani pemeriksaan calitan saringan Covid-19 secara pandu lalu di Klinik Kesihatan Batu Kawa pagi tadi.
“Saya menerima panggilan dari hospital pada petang semalam yang memberitahu saya telah terdedah dengan salah seorang individu yang disahkan positif Covid-19.
“Individu itu (tidak bergejala) menjalani calitan PCR saringan pertama pada 11 Januari dan keputusannya negatif.
“Bagaimanapun, individu itu menjalani calitan saringan kali kedua pada 15 Januari dan keputusan tersebut adalah positif,” kata Kui Hian menerusi Facebooknya, pagi tadi.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kakitangan KK Batu Kawa kerana perkhidmatan yang cemerlang dalam saringan PCR secara pandu lalu.
“Jika anda melakukan pra-tempahan (laluan cepat), anda boleh pandu lalu dan mendapatkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah (HSO) dalam 10 minit sahaja.
“Tetapi jika anda terus datang kerana berkemungkinan terdedah, anda perlu mengimbas kod QR, mengisi maklumat, menunggu giliran di dalam kereta di laluan perlahan,” ujarnya.
Sementara itu, ia merupakan kali kedua Kui Hian menjalani kuarantin kendiri di rumah selepas kali pertama menjalani kuarantin pada April 2020.

Suara Sarawak