Kuih redam ke Australia

MIRI: Kemunculan pelbagai kuih moden di pasaran mungkin menarik perhatian golongan muda, namun masih ada yang setia mencari kuih tradisional seperti kuih sepit, kerepek pisang dan kuih redam berikutan keunikan rasanya.

Normah Unus, 44, antara peniaga kuih tradisional, termasuk kuih-muih tradisi yang mengusahakan gerainya di pasar malam Saberkas di sini, sejak 13 tahun lalu berkata, hasil jualan produk laris disebabkan permintaan tinggi.

Katanya, ini kerana mereka juga membuat penjenamaan dan pembungkusan produk supaya dapat dihantar ke serata tempat.

“Kami bukan setakat menerima permintaan pelanggan tempatan sahaja tapi juga dari pelanggan luar negara seperti Australia.

“Kami banyak menyertai ekspo jualan terutamanya program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk memperluaskan perniagaan ini,” kata beliau yang dibantu oleh suami dan adik perempuannya ketika ditemui semasa berniaga di gerainya.

Menurut Normah, perniagaan kuih tradisi itu adalah sumber pendapatan utama keluarga mereka sehingga mampu membuka gerai kecil.

“Pada tahun 90-an, saya hanya menjual kuih kering seperti kerepek yang siap dibungkus.

“Tapi, selepas menyertai program Fama ke Semenanjung Malaysia, saya mula membawa idea baharu dan di situ lahirnya kuih lain seperti kuih redam,” jelasnya.

Tambah Normah lagi, kuih redamnya antara paling laris dan memiliki peminat setia yang sering membeli kuih redam buatannya.

“Ramai pembeli, termasuk dari Brunei yang datang ke gerainya untuk khas membeli kuih redam ini.

“Kuih redam kami berlainan daripada kuih redam orang lain sebab resepi ini kami cipta sendiri dan resepinya agak berbeza daripada resepi biasa,” katanya yang berniaga di gerai kuih redam Rezmah di pasar malam Saberkas pada hari Rabu hingga Sabtu, jam 4 petang hingga 10 malam.

Normah menguli adunan dan memasukkan ke dalam kuali sambil dibantu oleh adik perempuannya.

Normah memberitahu, beliau tertarik dengan perniagaan kuih tradisi kerana kini semakin kurang tahu cara pembuatan kuih tradisi.

“Jadi, saya rasa, melalui perniagaan ini, saya juga ingin mengekalkan makanan tradisi kita agar tidak pupus dan hilang ditelan zaman.

“Bukan itu sahaja, dengan jualan kuih ini juga, saya dapat memperkenalkan kuih kepada generasi kerana kadang-kadang mereka tidak tahu kewujudan kuih tradisi ini,” tambahnya.

Kesedapan kuih tradisi terutamanya kuih redam di gerai yang diberi nama Rezmah itu turut membuatkan Normah dan adik perempuannya tidak `menang tangan’ dan menggoreng kuih tersebut tanpa henti sejak gerai mula buka dibuka hingga ke malam.

Setiap hari, kata Normah, keuntungan boleh mencecah RM500 ke atas.

“Kalau jualan di ekspo, jualan boleh mencapai keuntungan sebanyak RM1,000 sehari.

“Kami selalu berniaga selama empat hari di ekspo, jadi nilai keuntungan adalah RM4,000 dalam masa tersebut,” ujarnya.