ARTIKEL

Gambar hiasan

Kukuh jati diri belia unggul

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

GOLONGAN belia memainkan peranan sangat signifikan dalam konteks pembangunan negara sesuai dengan usia yang masih muda, mental dan fizikal yang cergas. 

Justeru, sebagai generasi harapan masa depan, mereka perlu memperkukuhkan jati diri untuk menjadi warganegara yang unggul. 

Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan BangsaBangsa Bersatu (UNESCO) merekodkan, jumlah populasi penduduk dunia mencecah tujuh bilion dan hampir 60 peratus dalam kalangan belia atau mereka yang berumur 30 tahun dan ke bawah. 

Untuk itu, menjadi harapan menggunung agar lahirnya ramai belia yang berilmu pengetahuan, berkemahiran selari dengan perkembangan dunia teknologi dan mempunyai kekuatan jati diri yang mantap dalam semua aspek.

Di negara ini, kerajaan sentiasa memberikan perhatian penuh dengan menyediakan program berterusan di samping kemudahan antaranya program pembangunan prasarana, infrastruktur, bantuan fizikal dan mental.

Sehubungan itu, pemerkasaan  golongan belia dalam segenap sudut dimaksimum sebaik mungkin supaya mereka didedahkan dengan pelbagai kemungkinan yang mampu menjadi pemangkin kejayaan diri dan negara.

Buktinya, kerajaan menyediakan sekurang-kurangnya 16 insentif menarik untuk golongan itu menerusi Belanjawan 2024, yang sebahagian besarnya bertujuan melonjakkan potensi mereka dalam segenap bidang.

Bantuan itu diberikan untuk meningkatkan taraf hidup golongan belia, membentuk jati diri dan keperibadian anak muda, mengurangkan beban kewangan pelajar dan melahirkan lebih banyak bakat masa hadapan yang memenuhi keperluan industri.

Usaha bersepadu itu dilakukan kerana golongan belia aset paling bernilai dan penting kepada negara kerana mereka pewaris pemimpin pada masa depan.

Segala pembangunan dan kemakmuran negara pada masa depan amat bergantung kepada mereka.

Justeru, golongan belia yang mempunyai ilmu tentang perkara yang telah berlaku dan melihat realiti kehidupan masa kini, pasti dapat menzahirkan sesuatu yang lebih berguna kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat mahupun negara.

Sejak merdeka, belia negara kita turut sama berperanan dan menyumbang kepada proses pembinaan dan pembangunan negara.

Sumbangan ini meliputi segala aspek baik dari segi ekonomi, budaya, sosial mahupun politik.

Dalam menghadapi perubahan dunia yang semakin kompetitif hari ini, semangat tidak berputus asa dan konsisten dalam mempelajari sesuatu yang baharu hendaklah diamalkan komuniti belia di samping tidak lupa menyiapkan diri untuk menghadapi pelbagai cabaran dan ketidak tentuan pada masa hadapan.

Pada masa yang sama, kemahiran atau kepakaran wajar dimiliki di segenap lapangan kerana tanpanya, mereka tidak akan dapat mengendalikan apa-apa tugas yang memerlukan kecekapan dan kepakaran mereka.

Dalam pada itu, bagi menggapai hasrat menjadikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi, ilmu pengetahuan sama ada dalam bidang akademik mahupun kemahiran teknikal adalah senjata penting seiring dengan perkembangan dan cabaran arus globalisasi.

BERITA LAIN

Ancaman halus dunia hiburan

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme

BERITA TERBARU