DUBAI: Sarawak Energy kini melebarkan sayap dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) dengan menjalinkan kerjasama bersama anak syarikat milik penuh Bursa Malaysia Berhad, Bursa Carbon Exchange (BCX) untuk menawarkan sijil tenaga boleh diperbaharui (REC).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, sejak pelancaran REC pada 2019, Sarawak Energy menyokong pelbagai pemain industri dalam perjalanan kelestarian mereka melalui mekanisme REC.
“Memandangkan kesedaran dan komitmen semakin meningkat terhadap kemampanan dalam kalangan korporat di Asia Tenggara, REC memainkan peranan penting untuk memastikan mekanisme boleh dipercayai mengesan penggunaan RE dan menyokong peralihan global ke arah ekonomi rendah karbon,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas Majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MOC) empat hala antara BCX bersama-sama Sarawak Energy; Hydropower Sustainability Alliance (HSA) dan I-REC Standard Foundation (I-REC Standard) pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP28) di sini.
Sehubungan itu kata Sharbini, MOC yang dijalankan tersebut bakal membuka jalan bagi menawarkan REC diperingkat lebih tinggi selain memperkasakan semua pihak berkepentingan dengan menggalakkan kesedaran mengenai tenaga boleh diperbaharui dan kemampanan.
Pada masa sama katanya, ia juga dapat memperkukuh kuasa hidro Sarawak sebagai sumber penting tenaga boleh diperbaharui dan mampan di Malaysia.
Skop MOC akan meliputi empat bidang iaitu meneroka potensi bekalan REC daripada Sarawak Energy; memudahkan perdagangan REC rentas sempadan sekali gus piawaian penjejakan atribut antarabangsa. Bidang seterusnya adalah meningkatkan kesedaran melalui sesi pembinaan pengetahuan bersama mengenai kelestarian pensijilan, seperti Piawaian Kelestarian Tenaga Hidro dan pemahaman tuntutan RE serta membantu mempromosikan penggunaan pensijilan kemampanan bersama-sama REC.



