ARTIKEL

Datuk Fazzrudin Abdul Rahman

Kunci kemajuan Sarawak adalah kestabilan politik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kestabilan politik perlu terus dipertahankan bagi memastikan momentum pembangunan dan pengukuhan hak Sarawak tidak terhenti di tengah jalan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, Sarawak kini bukan lagi berada pada fasa menuntut hak semata-mata, sebaliknya sedang memasuki era memperkukuh kedudukan ekonomi dan kuasa negeri menerusi dasar yang konsisten serta kepimpinan yang stabil.

“Transformasi ekonomi tidak boleh berlaku dengan kerajaan yang bertukar arah setiap lima tahun.

“Ia memerlukan kesinambungan dasar, kekuatan dan kestabilan politik serta kepimpinan yang tahu hala tuju dan mempunyai rekod pencapaian,” katanya ketika membahaskan ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan pindaan Artikel 160(2) Perlembagaan Persekutuan membuktikan perjuangan hak Sarawak yang dipelopori kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sekadar retorik politik, sebaliknya berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan.

“Pindaan tersebut menjadi detik penting apabila buat pertama kali Persekutuan Malaysia turut ditafsir berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak dalam kerangka Persekutuan.

“Dulu orang kata perjuangan MA63 ini mustahil dan hanya retorik politik, tetapi hari ini kita buktikan bahawa apabila Sarawak bersatu dan mempunyai kepimpinan yang stabil, perkara mustahil akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata GPS memilih pendekatan rundingan dan pentadbiran berkesan berbanding bermain dengan retorik politik semata-mata.

“Langkah menubuhkan PETROS, melaksanakan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum serta mengambil alih kuasa pengagihan gas berjaya meningkatkan hasil negeri sehingga berbilion ringgit setiap tahun,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan bahawa sistem semak dan imbang hanya bergantung kepada kekuatan pembangkang di DUN.

“Pentadbiran moden turut dipantau menerusi pelbagai institusi termasuk Jabatan Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), proses kewangan yang ketat serta pemantauan rakyat melalui media sosial.

“GPS juga mempunyai budaya perbincangan dalaman yang terbuka sebelum sesuatu dasar diperkenalkan.

“Jadi jangan digambarkan seolah-olah tanpa pembangkang yang kuat maka hilanglah demokrasi. Rakyat mahukan kerajaan yang stabil dan membawa hasil, bukannya politik bising semata-mata,” katanya.

Sarawak kini berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai wilayah paling maju dan berdaya saing menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Kalau separuh perjalanan pun kita sudah mencapai begitu banyak kejayaan, insya-Allah dengan mandat yang berterusan, Sarawak akan muncul sebagai wilayah paling maju, paling stabil dan paling berdaya saing di Malaysia dan rantau ini,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Empat maut padam kebakaran hutan Bromo

JAKARTA: Empat orang maut manakala dua lagi melecur teruk selepas terperangkap dalam asap tebal dan api yang merebak dengan pantas ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke