KUNDONG atau kendung tergolong dalam keluarga yang sama dengan manggis.
Buah ini juga dinamakan Asam Arui-arui atau asam kandis dan banyak ditemui di Kepulauan Borneo dan Indonesia.
Nama saintifiknya ialah Garcinia parvifolia dan pokok kundong menyerupai pokok manggis.
Ketinggian pokok kundong mencecah sehingga 10 ke 20 meter tinggi dan mempunyai kanopi yang padat.
Bunganya kecil berwarna merah, manakala buahnya juga bersaiz kecil berbentuk bulat, berwarna hijau ketika masih muda dan bertukar menjadi merah cerah atau merah ungu apabila matang.
Isinya pula berwarna putih dan rasanya masam manis dan berjus.
Isinya boleh dimakan segar dan dibuat jem.
Manakala kulit buah yang matang boleh dijadikan asam untuk dicampur dalam masakan setelah dikeringkan seperti asam keping.
Pucuknya yang masih muda dan daunnya boleh dimasak sebagai sayur.
Dari segi perubatan, kundung dijadikan penawar untuk merawat demam.
Batangnya juga amat kuat dan sesuai untuk mendirikan rumah.



