KUCHING: Kunjungan orang ramai ke Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Sarawak disifatkan sebagai luar biasa dan meriah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Kira-kira 6,000 masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang mengunjungi rumah terbuka beliau yang diadakan di Hikmah Exchange di sini hari ini.
Fadillah, yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, berterima kasih dengan kunjungan orang ramai sambil berkata ia menunjukkan semangat kebersamaan yang kuat dalam kalangan rakyat Sarawak.
“Apabila saya berziarah berkunjung ke rumah terbuka Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, begitu ramai orang.
“Begitu juga semalam, saya berkunjung ke rumah terbuka ADUN Samariang, Datuk Sharifah Hasidah, ADUN Satok, Ibrahim Baki, begitu juga ramai orang.
“Dan untuk hari ini, rumah terbuka saya pun sepatutnya bermula pukul 10.00 pagi, 9.15 pagi orang dah mula datang.
“Jadi maknanya semangat untuk kita merayakan kebersamaan di antara kita ini sangat sangat baik di Sarawak,” katanya ketika ditemu bual media pada majlis rumah terbukanya.
Jelasnya, ini mengukuhkan perpaduan kita dan saya mengharapkan ia akan kekal dan menjadi asas kekuatan rakyat di Sarawak, iaitu perpaduan, hidup dalam keadaan harmoni, tidak mengira latar belakang.
Abang Johari dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, tiba sekitar jam 9.50 pagi sebelum berlepas ke Sibu sekitar jam 10.10 pagi untuk menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri.
Fadillah kemudian menerima kunjungan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir, Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee serta kenamaan lain.





