KUCHING: Timbalan Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh, menegaskan kuota 60,000 tan metrik bagi pengeluaran minyak masak paket kekal tidak berubah.
Menurutnya, permintaan minyak paket tinggi terutama dalam kalangan industri mikro terutamanya dalam persekitaran seperti kantin sekolah.
“Oleh itu, kemungkinan besar permintaan adalah tinggi secara konsisten.
“Selalunya, jika pasar raya mengeluarkan stok minyak masak paket, ia habis serta-merta.
“Stoknya ada, tetapi permintaannya terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Pelancaran Program MySaveFood Sempena BRR Wilayah Sarawak di Bazar Ramadan Metrocity Matang.
Sehubungan itu, beliau menekankan agar orang ramai membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dan Kos Sara (KPDN) sekiranya berlaku kekurangan stok minyak masak paket di pasar raya.
“Apabila aduan dibuat, KPDN akan turun padang dan membuat pemeriksaan untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu,” tegasnya.
Fuziah turut memberi jaminan bahawa minyak masak paket sentiasa tersedia kerana ia merupakan sebahagian daripada subsidi yang disasarkan.
“Apabila ia menjadi sebahagian daripada subsidi yang disasarkan, kami memastikan minyak masak paket itu sentiasa ada.
“Mereka yang paling memerlukan akan menerimanya, tetapi kami juga masih berusaha untuk memuktamadkan jenis bantuan minyak masak paket,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fuziah tidak menafikan bahawa harga barangan import mahal dan mampu mempengaruhi harga makanan dan minuman yang ditawarkan di Bazar Ramadan.
“Sebagai contoh, bawang Bombay besar merupakan salah satu barangan import.
“Itu juga menjejaskan harga makanan kerana penjaja menggunakan bawang besar.
“Bagaimanapun, saya lihat penjaja masih mampu mengaut keuntungan walaupun sedikit,” tambahnya.
Tambahnya, ia terpulang kepada penjaja untuk membuat keputusan sama ada menaikkan harga atau tidak.
“Maksudnya, kita sebagai pengguna harus tahu hak kita dan menggunakan kuasa untuk memilih mana-mana yang terbaik.
“Bagi KPDN, kami akan memantau dan memastikan hak pengguna dilaksanakan secara berterusan,” katanya.






