Kurang kawalan punca kes buang bayi

Kes pembuangan bayi dalam kalangan remaja merupakan satu isu serius dan harus ditangani segera oleh setiap golongan masyarakat.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Unimas Profesor Dr Razitasham Safii berkata, faktor yang mendorong kes pembuangan bayi adalah kurangnya kawalan oleh ibu bapa individu tersebut sendiri.

“Hal ini demikian kerana terdapat ibu bapa yang tinggal jauh disebabkan faktor pekerjaan atau pembelajaran dan ibu bapa terlalu sibuk dengan kerja masing-masing juga akan mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak.

“Oleh itu, konsep ‘parenting’ perlu diamalkan iaitu konsep yang bercorak membentuk, mendidik serta tidak menghukum mangsa malah penerapan nilai-nilai murni dalam keluarga juga sangat penting iaitu ibu bapa sepatutnya menjadi contoh kepada anak- anak,” ujar beliau.

Selain itu, Razitasham turut menegaskan bahawa ibu bapa perlu mahir dalam memberi pengetahuan berkaitan dengan pendidikan seks atau isu-isu seksualiti. “Pendidikan seks bertujuan membentuk anak-anak ke arah ciri-ciri kelelakian dan keperempuanan, dan ia melibatkan pengetahuan dari segi agama, adab resam, sosial dan mental seperti cara berpakaian, limitasi pergaulan, peranan serta tanggungjawab sebagai seorang remaja.

“Remaja yang mendapat tunjuk ajar yang betul akan mempunyai lebih kemahiran untuk menangani masalah berkait dengan hubungan luar nikah iaitu mengetahui akibat hubungan luar nikah seperti penyakit kelamin dan remaja hamil,” tambah Razitasham.

Selain itu, ibu bapa perlu mempunyai sifat terbuka supaya anak remaja berasa tidak takut untuk berbincang dengan ibu bapa dalam perkara yang sensitif kerana remaja akan mengalami perubahan perasaan di peringkat umur remaja iaitu perasaan terhadap jantina yang bertentangan.

Tambah beliau, komuniti turut memainkan peranan penting iaitu perlu bersifat prihatin terhadap mangsa yang telah terlanjur dan mereka ini perlu ditangani sebagai seorang individu.

“Hak mereka sebagai seorang individu perlu dipertimbangkan dahulu seperti hak seorang remaja untuk bersekolah, atau keperluan belia untuk berkembang dalam kehidupan dan pekerjaannya.

“Stigma yang keterlaluan terhadap kehamilan luar nikah akan menyebabkan mangsa menjadi malu dan takut malah mendorong mereka untuk membuang bayi yang dilahirkan dan ia akan memberi kesan kepada pesalah dari segi mental, fizikal, tingkah laku dan emosi,” kata beliau.

Jelas beliau juga, usaha yang dijalankan oleh Dr Wan Azizah iaitu menggesa remaja untuk tidak membuang bayi malah menghantar bayi tersebut di Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah pendekatan sedia ada yang amat baik namun tidak diketahui ramai.

“Setiap gadis yang mempunyai anak luar nikah mempunyai beberapa pilihan untuk menggugurkan kandungan mereka, melahirkan bayi itu dan memeliharanya sendiri atau memberi bayi tersebut kepada orang lain, termasuk “program baby hatches” dan menyambung pelajaran mereka.

“Orphan Care merupakan sebuah badan NGO yang memulakan konsep ‘Program Baby Hatch’ yang dirasmikan pada 30 Mei 2010 iaitu ibu-ibu dapat meninggalkan anak mereka di tempat yang selamat tanpa diketahui orang ramai atau tanpa soalan agar anak tersebut dapat dipelihara oleh orang lain.

Oleh itu, tujuan program tersebut dapat mengurangkan kes-kes pembuangan bayi dan memastikan bayi itu berada di tempat yang selamat.