KUCHING: Kekurangan tenaga kerja mahir dikenal pasti sebagai cabaran terbesar dalam usaha memperluas perkhidmatan penjagaan paliatif di Sarawak.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, isu ini memberi kesan besar dalam pelaksanaan penjagaan paliatif berkualiti, biarpun prasarana sedia ada semakin bertambah baik.
“Kita tidak boleh hanya mempunyai kemudahan dan bangunan yang baik tanpa tenaga kerja kerana kakitangan merupakan aset terbesar kita dalam penjagaan paliatif.
“Walaupun kini sebanyak 89 klinik kesihatan mengambil bahagian dalam inisiatif penjagaan paliatif, kita masih memerlukan lebih ramai tenaga kerja untuk mengisi perkhidmatan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Persidangan Penjagaan Paliatif Hospis Asia-Pasifik 2025 ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), di sini, hari ini.
Tambahnya, keperluan untuk memperkukuh latihan dan pendidikan dalam bidang penjagaan paliatif menjadi keutamaan untuk melahirkan lebih ramai profesional berkemahiran tinggi.
Beliau turut menekankan komitmen Kerajaan Sarawak dengan prinsip akses saksama kepada perkhidmatan penjagaan paliatif tanpa mengira lokasi.
“Sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar, termasuk rumah panjang dan kampung-kampung, saya percaya setiap orang berhak mendapat akses yang adil kepada penjagaan paliatif tanpa diskriminasi,” jelasnya.


