KUCHING: Usaha memperkasakan tenaga jurulatih bola sepak lima sebelah terus dipergiatkan bagi menampung keperluan tenaga arkitek pembentukan sesebuah pasukan dalam sukan yang lebih dikenali sebagai futsal itu.
Rentetan dari itu, United Sports Recreation Club (USRC) dengan kerjasama The Futsal Legion (TFL) akan menganjurkan Kursus Kejurulatihan Futsal Komuniti Gol Brasil Level ‘0’ & Level ‘1’ bermula dari 14 hingga 17 Oktober di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya (SSN Sarawak), Kuching.
Pengerusi USRC, Sylvester Lim memberitahu, kursus terbabit dianjur dengan tujuan menyediakan platform pembangunan ilmu dan kemahiran kejurulatihan futsal khususnya kepada jurulatih aktif, guru, pemain serta individu yang berminat untuk menceburi bidang kejurulatihan futsal.
“Kursus ini terbuka kepada individu yang berminat dan jurulatih aktif.
Keutamaan akan diberikan kepada guru-guru sekolah.
Peserta juga hendaklah berada dalam keadaan fizikal yang sihat bagi mengikuti aktiviti praktikal sepanjang kursus,” ujar Sylvester kepada Arena Suara Sarawak.
Katanya, USRC melihat pembangunan jurulatih sebagai salah satu aspek penting dalam usaha memperkukuhkan ekosistem futsal di Sarawak.
Jelas Sylvester, jurulatih bukan sahaja memainkan peranan dalam meningkatkan prestasi pemain, malah menjadi antara individu penting dalam membentuk disiplin, karakter, pemahaman taktikal dan budaya sukan dalam kalangan generasi muda.
Beliau percaya, melalui penganjuran kursus seperti ini dapat bagi USRC membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan pendedahan serta ilmu kejurulatihan yang lebih tersusun dan sistematik.
“Untuk mengetahui sebarang maklumat lanjut dan pendaftaran, boleh menghubungi saya ditalian 016-8669151 atau Awang Zaifulizan ditalian 0111-5805301,” menurutnya.
Mengulas lanjut mengenai penganjuran kursus tersebut, Sylvester menyatakan, kursus berkenaan berlangsung dua sesi.
“Sesi pertama bermula dari 14 hingga 15 Oktober (Level O), disusuli sesi kedua untuk Level 1 berlangsung dari 16 hingga 17 Oktober,” menurut Sylvester.



