KEJAYAAN Papa Zola The Movie bukan sekadar diukur melalui angka kutipan di pawagam, sebaliknya menjadi bukti karya animasi tempatan mampu berdiri megah seiring filem antarabangsa.
Di sebalik sorakan penonton dan barisan di pawagam yang tidak putus-putus, terselit satu harapan besar, iaitu kemungkinan kelahiran sekuel yang dinanti-nantikan.
Studio animasi tempatan, MONSTA, memberi isyarat perjalanan Papa Zola mungkin belum berakhir.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, mendedahkan penerbitan Papa Zola The Movie 2 bergantung sepenuhnya pada satu sasaran bermakna, iaitu kutipan pecah panggung sebanyak RM60 juta.
Perkara itu dikongsi oleh Nizam menerusi satu hantara di media sosial, sekali gus mencetuskan spekulasi dan keterujaan dalam kalangan peminat animasi tempatan.
Menurut beliau, perancangan awal filem tersebut sebenarnya mengandungi dua rahsia penting, iaitu babak pertengahan kredit dan babak selepas kredit.
Kedua-duanya membawa mesej berbeza tentang hala tuju MONSTA pada masa hadapan.
Babak pertengahan kredit dikaitkan dengan projek animasi berskala besar seterusnya, BoBoiBoy Movie 3 (BM3), manakala babak selepas kredit pula disediakan khas sebagai pratonton ringkas eksklusif untuk Papa Zola The Movie 2.
Namun, demi menjaga momentum dan mengambil kira ketidakpastian sambutan awal penonton, pihak produksi memilih untuk tidak memasukkan babak selepas kredit itu dalam versi tayangan.
“Alhamdulillah, sambutan Papa Zola The Movie ternyata jauh lebih baik daripada jangkaan kami,” kongsi Nizam, satu pengakuan yang menggambarkan rasa syukur dan kelegaan selepas bertahuntahun usaha di belakang tabir.
MONSTA turut memaklumkan sekiranya sasaran kutipan RM60 juta berjaya dicapai, bukan sahaja sekuel akan diberi lampu hijau, malah babak selepas kredit yang sebelum ini disimpan rapi akan ditayangkan kepada penonton pada waktu yang sesuai.
Langkah itu bagi mengelakkan pendedahan awal yang boleh menjejaskan pengalaman menonton. Setakat ini, Papa Zola The Movie terus mencipta sejarah tersendiri apabila meraih kutipan RM55 juta semenjak ditayangkan pada 11 Disember lalu di pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.
Dalam tempoh yang sama, filem animasi terbitan MONSTA dengan kerjasama Astro Shaw ini turut mencatat lebih tiga juta tontonan, satu pencapaian yang jarang dicapai oleh karya tempatan.
Lebih membanggakan, filem ini kekal menduduki carta nombor satu pawagam selama 22 hari berturutturut, meskipun berdepan saingan hebat daripada filem antarabangsa berskala besar.
Kejayaan ini bukan sekadar kemenangan buat MONSTA, tetapi simbol keyakinan penonton terhadap potensi industri animasi tempatan. Kini, impian untuk melihat Papa Zola kembali ke layar perak berada di tangan penonton sendiri.
Perjalanan ini membuktikan sokongan terhadap karya tempatan mampu membuka



