KUALA LUMPUR: Sistem pencen di Malaysia perlu berkembang seiring dengan peningkatan jangka hayat dan perubahan corak pekerjaan, pembaharuan diperlukan bagi memperkukuh liputan, kecukupan, ekuiti dan kelestarian pendapatan persaraan untuk tempoh hayat yang lebih panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zulqarnain Onn berkata, bagi mencapai matlamat ini, beliau telah mengenal pasti empat keutamaan untuk Malaysia, bermula dengan keperluan untuk beralih daripada sekadar menabung untuk persaraan kepada usaha menjamin pendapatan seumur hidup.
“Pada masa ini, kita mempunyai sistem pengeluaran secara sekaligus, ia merupakan satu sistem yang mencabar, namun pada masa sama, ia amat dihargai oleh ahli-ahli kita, yakni pencarum KWSP.
“Justeru, salah satu cabaran yang kita hadapi sebagai satu sistem ialah bagaimana kita boleh beralih daripada menabung untuk persaraan kepada menjamin pendapatan seumur hidup,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2026.
Setakat Jun 2026, KWSP melaporkan bahawa lebih 26,000 ahli telah memilih skim i-Emas sebaik sahaja mencapai usia 55 tahun (lebih 7,000 ahli) atau 60 tahun (lebih 19,000 ahli).
Beliau turut menekankan keperluan untuk merapatkan jurang liputan, khususnya dalam kalangan pekerja sektor tidak formal, pekerja bergaji harian dan pekerja yang lebih tua serta menyokong ahli sepanjang hayat mereka dan bukan hanya pada peringkat persaraan.
Langkah ini memerlukan libat urus lebih awal serta kerjasama lebih erat merentas pelbagai bidang seperti kesihatan, perumahan dan penjagaan warga emas, dengan perubahan dilaksanakan secara berperingkat dan telus bagi mengekalkan kepercayaan orang ramai.
Ahmad Zulqarnain menggesa agar melakukan pembaharuan dalam pasaran buruh untuk meningkatkan tahap gaji pekerja Malaysia, memandangkan bahagian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara disalurkan kepada tenaga kerja masih berada pada tahap yang terlalu rendah.
Selain itu, beliau berkata pertimbangan mengenai peningkatan jangka hayat perlu melangkaui skop sesuatu bidang dasar tertentu, ia harus merangkumi pasaran buruh, infrastruktur, penjagaan kesihatan dan sistem digital, serta pembangunan komuniti, memandangkan populasi negara semakin menua.
Oleh itu, Ahmad Zulqarnain menegaskan keperluan untuk penyelarasan yang lebih baik bagi menghubungkan pelbagai elemen yang menentukan kualiti kehidupan rakyat dalam menjalani usia lebih panjang.
“Sehubungan itu, apa yang perlu dilakukan adalah menghubungkan semua elemen ini. Keselamatan pendapatan, kesihatan, penjagaan, pekerjaan dan komuniti, semuanya mencorakkan kualiti kehidupan yang lebih panjang bagi masyarakat” katanya.
Ahmad Zulqarnain turut menegaskan bahawa tanggungjawab perlu dikongsi bersama oleh individu, keluarga, majikan, komuniti dan kerajaan.
“Kami juga mendapati bahawa kerajaan perlu memainkan peranan lebih besar, terutamanya dalam aspek seperti penjagaan jangka panjang dan keselamatan pendapatan asas.
“Individu juga mempunyai peranan dengan membuat persediaan awal, menabung secara konsisten serta membuat pilihan tepat dan berakhlumat sepanjang perjalanan hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata majikan juga memainkan peranan penting melalui pemberian gaji, fleksibiliti di tempat kerja serta peluang disediakan bagi membolehkan pekerja warga emas kekal aktif dari segi ekonomi.-Bernama



