KUALA LUMPUR: Sistem pencen di Malaysia perlu diperkukuh bagi memastikan liputan, kecukupan, ekuiti dan kelestarian pendapatan persaraan selaras dengan peningkatan jangka hayat rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zulqarnain Onn menggariskan empat keutamaan utama, termasuk keperluan beralih daripada sekadar menabung kepada menjamin pendapatan seumur hidup.
Beliau berkata sistem pengeluaran sekali gus yang diamalkan kini mencabar meskipun amat dihargai pencarum KWSP. Setakat Jun 2026, lebih 26,000 ahli memilih skim i-Emas iaitu lebih 7,000 ahli berusia 55 tahun dan lebih 19,000 ahli berusia 60 tahun.
Ahmad Zulqarnain turut menekankan keperluan merapatkan jurang liputan khususnya bagi pekerja sektor tidak formal, pekerja bergaji harian dan pekerja lebih tua seperti dilapor Bernama.
Beliau menggesa pembaharuan pasaran buruh bagi meningkatkan gaji pekerja memandangkan bahagian Keluaran Dalam Negara Kasar disalurkan kepada tenaga kerja masih rendah, selain menyeru penyelarasan merentas bidang kesihatan, perumahan dan pekerjaan.
Dalam sesi panel berasingan yang dikendalikan Ketua Pegawai Teknologi Digital KWSP, Afhzal Abdul Rahman, ahli panel termasuk CEO Kumpulan Naluri, Azran Osman-Rani dan CEO Pejabat Transformasi Kesihatan Kementerian Kesihatan, Dr Yap Wei Aun menekankan keperluan pendekatan lebih holistik merangkumi penjagaan kesihatan, keselamatan pendapatan dan penjagaan warga emas.
Dr Yap mencadangkan penyeragaman insurans kesihatan swasta sukarela dengan tumpuan kepada penjagaan berasaskan nilai dan pencegahan.
Persidangan turut menampilkan pengasas gerakan “Because I Said I Would”, Alex Sheen yang menekankan kepentingan komitmen peribadi dan tanggungjawab bersama dalam menjaga ibu bapa yang semakin berusia.
ISWC 2026 dianjurkan bersama KWSP dan Kementerian Kewangan, menghimpunkan pemimpin pemikiran global dan pakar industri membincangkan masa depan persaraan, penuaan serta perlindungan sosial.



