Lagi 584 penerima Dun Daro terima makanan

SARIKEI: Agihan sumbangan bantuan makanan bagi penduduk di Dun Daro diteruskan melibatkan seramai 584 lagi penerima, semalam. Mereka terdiri daripada penduduk kawasan Passin dan Batang Lassa yang ditadbir Daerah Matu, manakala Muara Lebaan, Teluk Bulat, Teluk Batu dan Bukit Papit di bawah pentadbiran Daerah Meradong di Bahagian Sarikei.

Adun Daro Safiee Ahmad berkata, daripada jumlah itu, seramai 303 KIR terdiri daripada kalangan penduduk rumah panjang dan kampung di Passin dan Batang Lassa.

Katanya, semua bantuan itu sudah diserahkan oleh pasukan sukarelawan GPS Daro kepada penduduk di kawasan berkenaan. “Kawasan ini ialah Kampung Sawai dan tujuh buah rumah panjang di kawasan Sungai Passin.

Penghantaran ini melibatkan 257 bakul makanan iaitu 108 pek untuk Sawai dan 149 lagi untuk kawasan Sungai Passin.

“Kedua-dua penempatan ini merupakan kawasan Dun Daro di bawah Pentadbiran Daerah Matu,” katanya. Beliau berkata, proses penghantaran dilakukan melalui jalan ladang ke Sawai dan seterusnya menggunakan perahu untuk pengagihan bantuan bekalan ke Sungai Passin.

Semoga bantuan ini dapat meringankan sedikit beban penduduk yang sukar untuk keluar dalam tempoh PKP. Sementara penghantaran Fasa Kedua turut dilakukan untuk kawasan Dun Daro di bawah Pentadbiran Daerah Meradong yang melibatkan sebuah kampung dan 10 buah rumah panjang di kawasan Lebaan, Teluk Bulat, Teluk Batu dan Bukit Papit.

Sebanyak 141 pek bungkusan makanan telah diagihkan kepada para penerima di kawasan tersebut. Dengan selesainya penghantaran Fasa Kedua itu katanya, seluruh kawasan Daro yang merangkumi dua buah kampung dan 17 buah rumah panjang di bawah Pentadbiran Daerah Meradong, Bahagian Sarikei sudah pun menerima bantuan.

“Semoga dengan bantuan tersebut, mereka dapat menampung sedikit bekalan makanan asas kesan daripada kesukaran untuk bergerak semasa tempoh PKP ini. “Sehubungan itu, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada petugas sukarelawan yang menghulurkan bantuan, sekali gus memudahkan kami menyalurkan sumbangan,” katanya.

Suara Sarawak