SELANGOR: Kem Para Olahraga Sarawak terus menceriakan kontinjen apabila menghadiahkan dua lagi pingat gangsa menerusi acara balapan dan padang hari ini.
Pingat berkenaan disumbangkan Jennyla Kueh@Waret dalam acara Lontar Peluru WF55/WF56/WF57 dan Mohamad Hishamudin Razali menerusi acara 1,500 meter LT36.
Jennyla meraih gangsa selepas melakukan lontaran sejauh 5.08 meter, manakala Hishamudin menamatkan larian 1,500 meter dengan catatan masa 6 minit 40 saat.
Jennyla memastikan gangsa menjadi miliknya menerusi lontaran ketiga, sekali gus mengatasi catatan rakan sepasukan, Marai, yang menamatkan saingan di tempat keempat dengan jarak 4.83 meter.
Atlet Selangor, Nur Adzra Sophea, meraih emas dengan catatan 6.39 meter, manakala Nur Safra dari Terengganu membawa pulang perak selepas melakukan lontaran sejauh 5.23 meter.
Sementara itu, Hishamudin berdepan saingan sengit sejak awal perlumbaan sebelum menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan 6 minit 40 saat.
Pingat emas menjadi milik Mahfudz Mahzan dari Perlis dengan catatan 6 minit 15 saat, manakala Mohd. Arman Rosli dari Selangor meraih perak selepas mencatat 6 minit 18 saat.





