Lagi lima rumah panjang dikenakan sekatan pergerakan

SIBU: Terbaharu, lima buah rumah panjang di kawasan Sibu dikenakan sekatan pergerakan susulan peningkatan kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduk rumah panjang.
Rumah Bunsie Tiboh, Jalan Salim-Belalang dan empat lagi di kawasan Rantau Panjang terdiri daripada Rumah Franky Bauk, Rumah Chinda Akup, Rumah Munong Sandom dan Rumah Anchom Agai.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, sekatan dikenakan setelah pihaknya dimaklumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) mengenai penduduknya yang positif Covid-19.
“Bila sesebuah rumah panjang dikenakan sekatan pergerakan, pihak polis akan meletakkan garisan warna kuning iaitu garisan polis bermaksud tidak boleh masuk dan keluar.
“Di samping itu, kita menempatkan anggota polis bersama-sama anggota keselamatan di rumah panjang terbabit dibawah perintah kuarantin,” katanya ketika dihubungi, hari ini (Jumaat).
Bercakap mengenai Sekatan Jalan Raya (SJR) di sini, Stanley berkata, terdapat enam sekatan di Sibu dengan yang terbaharu di kawasan Sungai Bidut bagi pemeriksaan pergerakan dari Sibu ke Tanjung Manis.
“Kita menggunakan semua kekuatan anggota dan pegawai yang ada ketika ini.
“Kami dibantu oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” jelas beliau.
Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bahagian Sibu yang bermula pada 16 Januari lalu, katanya, hanya dua saman dikeluarkan setakat ini.
“Pada dua hari terawal pelaksanaan PKP, kita hanya memberikan nasihat kepada orang awam untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP.
“Pengeluaran kompaun hanya kita kuatkuasakan pada 18 Januari lalu.
“Kita berkehendakan semua pihak memainkan peranan masing-masing untuk mematuhi SOP bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan,” kata Stanley.
Dijangkakan lebih ramai lagi rumah-rumah panjang di Sibi dikenakan sekatan pergerakan memandangkan hari ini ia mencatatkan sebanyak 168 kes positif Covid-19 dengan satu kematian dari Kluster Pasai.
Dari 168 kes, sebanyak 79 adalah melalui jangkitan tempatan yang tidak ketahui puncanya manakala selebih kes adalah dari Kluster Pasai.

Suara Sarawak