PEMINAT Taylor Swift dikejutkan dengan satu gangguan luar biasa di Apple Music apabila dua lagu daripada album Reputation (2017) kedengaran berbeza daripada versi asal, sekali gus mencetuskan gelombang spekulasi menjelang tayangan dokumentari Disney+ The End of an Era.
Perubahan itu dikesan pada lagu I Did Something Bad dan Delicate, dengan lirik tertentu dinyanyikan secara berbeza berbanding rakaman asal.
Menariknya, gangguan tersebut hanya dialami pengguna Apple Music, manakala paparan lirik dalam aplikasi masih kekal tanpa sebarang perubahan.
Walaupun kelihatan kecil, perbezaan ini cukup untuk menghidupkan teori lama dalam kalangan Swifties, khususnya kemungkinan pelancaran Reputation (Taylor’s Version) yang sekian lama dinanti.
Tambahan pula, dokumentari berkenaan meraikan Eras Tour, tempoh apabila peminat berulang kali mengharapkan pengumuman besar daripada Swift.
Pada Mei lalu, penyanyi itu menjelaskan sebab album tersebut masih belum dirakam semula selepas beliau berjaya membeli semula hak milik penuh katalog muziknya.
Swift mengakui Reputation sangat terikat dengan fasa hidup yang sarat konfl ik dan emosi, menjadikannya sukar untuk dihasilkan semula tanpa kehilangan roh asal.
Bagaimanapun, beliau tidak menutup sepenuhnya kemungkinan kemunculan semula album itu pada masa sesuai, termasuk lagu-lagu simpanan yang belum pernah didengar peminat.
Menurut Swift, jika ia berlaku kelak, ia akan diraikan sebagai satu perayaan, bukan kenangan pahit masa lalu.
Dengan tahun baharu semakin hampir, kebetulan album Reputation asal ditutup dengan lagu New Year’s Day, selain ulang tahun kelahiran Swift yang jatuh pada 13 Disember, peminat terus berteka-teki sama ada gangguan ini sekadar ralat teknikal atau petanda sesuatu yang lebih besar sedang menunggu masa.



