Penyanyi Dayak, Anthony Usan, kembali dengan buah tangan terbaharunya berjudul Enda Ulih Aku Ambu yang mula dilancarkan di YouTube pada 18 Julai lalu. Lagu ini menjadi sebutan peminat dan meraih lebih 100,000 tontonan pada hari pertama pelancarannya.
Menurut Anthony, lagu ini mengisahkan cinta yang tidak kesampaian dan perjuangan mendapatkan sesuatu yang akhirnya bukan milik kita, sama ada dalam cinta mahupun cita-cita.
Menariknya, meskipun beliau menyampaikan lagu ini dengan penuh penghayatan, ia bukan berdasarkan kisah peribadinya, sebaliknya kisah sebenar pencipta lirik lagu tersebut.
“Mencintai tak semestinya memiliki. Ada masanya kita harus berdamai dengan takdir dan ketentuan Tuhan,” jelasnya kepada Suara Sarawak.
Anthony menyifatkan kekuatan lagu ini terletak pada liriknya yang penuh kiasan, disulam dengan melodi unik serta klip video yang menarik.
Namun, beliau juga tidak menafi kan cabaran sepanjang proses rakaman.
“Saya beberapa kali berhenti semasa rakaman vokal kerana penghayatan saya masih kurang. Penerbit banyak membantu memberi ruang untuk saya memahami isi lagu agar penyampaian saya tidak ‘kosong’,” katanya.
Lagu ini merupakan hasil ciptaan Tony Engkabi dan Jerryson Cpyian, diterbitkan oleh T&S Music Production. Sambutan terhadap lagu ini sangat luar biasa.
Ia menjadi tular di TikTok dan menerima komen positif daripada para peminat.
Anthony, yang berasal dari Rantau Limau Ulu Kanowit, Julau, mula menyanyi sejak kecil dan pernah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian seperti Sarikei Idol dan pencarian Bintang RTM.
Beliau memulakan perjalanan profesional dalam dunia muzik Dayak pada 2022 menerusi lagu Pengerindu Tua. Antara lagu lain nyanyiannya termasuk Tepambar, Bungai Layu Patah Ditangkai, dan Pengerindu Dipelepa. Bagi Anthony, kejayaan ini adalah satu penghargaan dan amanah.
“Saya ingin terus dikenali dan diingati dengan lagu-lagu yang memberikan kesan kepada pendengar,” katanya yang menjadikan Rickie Andrewson sebagai idolanya.
Anthony turut mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.



