MUKAH: Program Keusahawanan dan Inovasi Belia (YEIP) 2026 berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkasakan generasi inovator muda menerusi pendedahan kepada aspek keusahawanan, inovasi serta perlindungan harta intelek sepanjang penganjurannya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Mukah.
Program itu merupakan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak serta UiTM Cawangan Sarawak melalui Akademi Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BITCOM) serta Majlis Perwakilan Pelajar.
Penganjuran program berkenaan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta inisiatif Fiesta Rakan Muda 2026 dalam usaha melahirkan lebih ramai belia yang berdaya saing, kreatif dan memiliki pemikiran inovatif. Program itu turut mendapat sambutan menggalakkan daripada pemimpin belia, mahasiswa serta masyarakat setempat yang mengambil peluang menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang keusahawanan serta inovasi.
Sehubungan itu, peserta didedahkan kepada kepentingan perlindungan harta intelek menerusi sesi perkongsian bertajuk ‘IP Unlocked‘ yang disampaikan oleh Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Nor Intan Pamin.
Menurutnya, perlindungan harta intelek merupakan elemen penting. “Ini bagi memastikan sesuatu ciptaan atau idea inovatif dapat dipelihara daripada sebarang bentuk penyalahgunaan.
“Di samping itu, ia membuka peluang kepada pengkomersialan produk pada masa hadapan,” katanya. Turut dilaksanakan adalah Pertandingan Inovasi Belia (YIC) 3.0 yang mengetengahkan tema ‘Memperkasakan Belia Melalui Inovasi Kreatif untuk Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Mampan.’
Menerusi pertandingan itu, peserta membentangkan pelbagai idea dan penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran semasa merangkumi sektor pertanian, pendidikan serta pembangunan produk pengguna.
Selain pertandingan inovasi, peserta turut mengikuti sesi perkongsian keusahawanan yang menampilkan pengasas syarikat Ajakcut, Harish Abdullah. Menerusi perkongsian bertajuk ‘Dream It, Build It, Live It’, beliau berkongsi pengalaman membangunkan perniagaan daripada peringkat awal sehingga berjaya menempa nama, sekali gus memberi inspirasi kepada peserta untuk berani menceburi bidang keusahawanan. Majlis penutupan program diadakan di Dewan Sri Balau, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Mukah dan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine.
Pada majlis tersebut, sebanyak 15 anugerah disampaikan kepada pemenang Pertandingan Inovasi Belia (YIC) 3.0 sebagai pengiktirafan terhadap idea kreatif dan inovatif yang dihasilkan. Anugerah utama melibatkan kategori Inovasi Agroteknologi, Akuatik dan Herba, Inovasi Produk Pengguna Fizikal serta Inovasi Pengajaran, Pembelajaran dan Pendidikan dengan hadiah bagi tempat pertama, kedua dan ketiga.
Turut disampaikan ialah beberapa anugerah khas iaitu Anugerah Pembentangan Inovasi Terbaik, Anugerah Video Promosi Inovasi Terbaik, Anugerah e-Poster Inovasi Terbaik, Anugerah Reruai Inovasi Terbaik, Anugerah Potensi Komersial Terbaik serta Anugerah Inovasi Mampan Terbaik.
Justeru, melalui penyatuan perkongsian ilmu, persaingan inovasi dan bimbingan keusahawanan dunia sebenar, YEIP 2026 berjaya meletakkan asas kukuh untuk melahirkan generasi belia Sarawak yang proaktif dan berdaya saing dalam bidang perniagaan.






