Lahirkan ratusan ribu si cilik bertaraf dunia

KANAK-KANAK ibarat kain putih bersih, yang perlu dicorakkan dengan pelbagai adunan warna yang betul dan sesuai, agar mereka menjadi insan yang berguna suatu hari kelak. Mereka adalah aset keluarga, masyarakat dan negara, kerana masa depan negara berada di tangan mereka.

Oleh itu, pendidikan awal kanak-kanak amat penting untuk melahirkan insan berkualiti yang mencakupi pelbagai aspek, berdaya saing, bertaraf global, kreatif, pintar dan terdidik dengan nilai-nilai murni, sesuai dengan budaya masyarakat timur. Wartawan Suara Sarawak, COLLINA RADANG menemu bual Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Operasi (Sabah dan Sarawak), Aim Smart Academics Sdn Bhd NORMA JOHN mengenai cabaran, harapan dan masa depan pusat pendidikan kanak-kanak ini.

Ia merupakan anak syarikat Smart Reader Worldwide Sdn Bhd yang membekalkan program pendidikan awal kanak-kanak secara francais melalui jenama Smart Reader Kids.

SUARA SARAWAK: Banyak pusat tadika diarah tutup sepanjang tempoh wabak Covid-19. Adakah situasi ini turut dilalui Tadika Smart Reader Kids?

NORMA JOHN: Semua pusat tadika di seluruh Malaysia merujuk kepada arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum beroperasi. Memandangkan pusat tadika juga merupakan antara sektor penting, maka KPM telah membenarkan kami beroperasi untuk membantu golongan ibu bapa yang bekerja dan pihak yang memerlukan perkhidmatan kami. Peluang ini kami gunakan sebaik-baiknya dengan memastikan guru dan murid sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Kami juga menyediakan alat perlindungan diri tambahan, seperti perisai muka lut sinar kepada kanak-kanak bagi mengelakkan mereka terdedah dengan udara di sekeliling. Guru pula diwajibkan untuk melaporkan sejarah perjalanan serta status kesihatan sebelum mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran kepada kanak-kanak di dalam kelas.

Bagaimana pula dengan sesi pengajaran dan pembelajaran? Mereka turut didedahkan dengan kaedah pembelajaran secara dalam talian?

Ya. Murid-murid prasekolah di sini turut diberi kelas secara dalam talian oleh guru mereka sepanjang tempoh tadika ditutup. Bagi proses ini, semua bahan keperluan mengajar disediakan menerusi Google untuk memudahkan sesi pembelajaran dan pengajaran berjalan seperti biasa. Dengan ini, kanak-kanak tidak akan tercicir dalam pelajaran mereka, tanpa mengira keadaan. Harus diingat, pendidikan awal kanak-kanak ini tidak boleh dipandang enteng oleh ibu bapa kerana manfaat dan kepentingannya kepada anak-anak pada masa akan datang.

Proses pembelajaran secara dalam talian ini agak mencabar bagi kanak-kanak?

Pada dasarnya, sistem pengajaran secara maya ini mempunyai cabaran tersendiri apabila dipraktikkan kepada golongan kanak-kanak.

Bagaimanapun, bagi kanak-kanak yang menuntut di tadika, proses pembelajaran secara maya bukan sesuatu yang baharu kerana mereka didedahkan lebih awal dengan penggunaan teknologi terkini. Antaranya, melalui program Smart Kinder-Tech yang dilaksanakan di sekolah ini.

Program ini merupakan kaedah e-pembelajaran yang luar biasa dan interaktif kerana menggabungkan penggunaan teknologi dalam pelajaran. Melalui program ini, ia mewujudkan bilik darjah yang lebih kondusif dan membolehkan kanak-kanak menikmati sesi di dalam kelas yang menarik kerana ia dapat diakses melalui pelbagai jenis peranti digital.

Hal ini juga secara tidak langsung telah memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi ketika sesi pembelajaran. Oleh itu, kanakkanak di sini tidak begitu terkejut dengan kaedah pembelajaran norma baharu yang disarankan oleh KPM.

Ibu bapa pasti agak risau untuk menghantar anak mereka ke sekolah. Apakah inisiatif yang diambil oleh pihak tadika untuk meyakinkan ibu bapa bahawa kawasan sekolah adalah selamat untuk anak-anak mereka?

Seperti yang saya katakan, semua operasi tadika mengikuti saranan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Antaranya, kami menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat di tadika ini. Selain menyediakan SOP, kami juga menunjukkan bukti bahawa pusat tadika kami selamat melalui tayangan video proses sanitasi di setiap ruangan bilik kelas kepada ibu bapa. Kebiasaannya, proses sanitasi akan dilakukan tiga kali sehari iaitu pagi, tengah hari dan sebelum pulang ke rumah. Malah, anak-anak juga disediakan alat kelengkapan perlindungan diri tambahan ketika berada di dalam kelas

Kanak-kanak merupakan golongan yang agak sukar untuk dikawal?

Setakat ini, kanak-kanak memberi kerjasama yang memberangsangkan dalam pematuhan SOP. Mereka patuh dan mengikuti segala arahan yang disediakan oleh guru mereka dengan baik. Tindakan ini juga mungkin disebabkan pendedahan awal yang kami lakukan kepada mereka.

Sebelum kerajaan mengeluarkan SOP, kami di Smart Reader Kids telah menyediakan garis panduan kepada ibu bapa dan kanak-kanak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Semua pihak di sekeliling turut dibimbing agar mengetahui peranan masingmasing dalam membendung penularan wabak Covid-19. Jadi, saya berpendapat langkah awal yang kami lakukan itu telah mendorong kanak-kanak lebih faham terhadap tindakan yang perlu mereka lakukan.

Adakah Smart Reader Kids ini terbuka kepada kanak-kanak berusia enam tahun sahaja?

Jelaskan kelebihan Tadika Smart Reader Kids berbanding tadika lain? Tadika Smart Reader Kids di seluruh Malaysia terbuka kepada kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun. Ia bukan satu jenama yang asing dalam dunia pendidikan awal kanak-kanak.

Berbekalkan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri pendidikan awal kanak-kanak dan 20 tahun dalam bidang francais, Smart Reader Kids telah membuktikan rekod hebatnya dengan menghasilkan ratusan ribu murid prasekolah yang berkualiti, berbakat dan cemerlang dalam akademik.

Selain itu, pihak pengurusan juga sentiasa giat dalam melakukan penyelidikan dan sentiasa menambah baik kandungan sukatan pelajaran dengan memastikan program yang disediakan memenuhi piawaian antarabangsa, kerana program prasekolah ini turut terdapat di luar negara seperti di Australia. Tadika ini juga bertaraf antarabangsa. Tidak dinafikan ramai yang kagum dengan kepetahan muridmurid di sini dalam penguasaan bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, murid-murid turut didedahkan dengan bahasa lain termasuk bahasa Mandarin dan Melayu, selaras sukatan pelajaran pihak KPM. Kelebihan Smart Reader Kids juga dapat dibuktikan melalui puluhan anugerah dan pengiktirafan antarabangsa yang diterima oleh Smart Reader Worldwide iaitu Community Leadership CSR Award 2017 (Outstanding Leader in Early Childhood Education), Franchise of the Year Hall of Fame (dianugerahkan oleh Persatuan Francais Malaysia) dan banyak lagi.

Selain asas bahasa yang kukuh, Smart Reader Kids turut menawarkan program baharu iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (Steam). Kita memang mengikuti perkembangan semasa dan peka akan kepentingan Steam terhadap dunia tanpa sempadan sekarang ini.

Kami berpendapat pendedahan pada usia awal akan memberi manfaat besar kepada pelajar pada masa depan kelak. Langkah ini seiring dengan kehendak kerajaan yang ingin melahirkan pelajar yang mahir dan bijak dalam bidang-bidang tersebut. Selain itu, Smart Reader Kids juga menawarkan program berasaskan pendidikan Islam iaitu pendidikan Smart Tadris di tadika terpilih di seluruh negara.

Secara ringkas, kami menawarkan pelbagai pilihan kepada ibu bapa untuk memilih program yang perlu diikuti anak-anak mengikut cita rasa mereka.

Kaedah pembelajaran yang digunakan Tadika Smart Reader Kids sepanjang pandemik Covid-19.

Dengan norma baharu, semestinya proses pengajaran dan pembelajaran tidak sama seperti sebelum ini. Namun kami telah menggunakan kaedah unik dan berkesan iaitu Smart Reader Creative Teaching Methodology yang merupakan sistem asas pengajaran dan pembelajaran di tadika kami sejak 30 tahun lalu.

Kaedah ini mengajar murid untuk mahir dalam kemahiran berfikir aras tinggi, meningkatkan kemahiran kreatif dan berfikir secara kritikal, menekankan perkembangan Emotional Quotients (EQ) yang tinggi serta menjadikan pembelajaran lebih menarik dan membangunkan kemahiran psikomotor murid.

Kaedah ini digunakan secara maya dan bersemuka. Dengan kaedah ini, kanakkanak seronok kerana melakukan pelbagai aktiviti di dalam kelas. Malah, ada yang langsung tidak mahu pulang ke rumah setelah didedahkan dengan aktiviti-aktiviti berkenaan.

Jumlah cawangan tadika Smart Reader Kids di Malaysia setakat ini?

Setakat ini, Tadika Smart Reader Kids mempunyai 27 cawangan di Sabah dan Sarawak. Daripada jumlah itu, terdapat 20 cawangan tadika yang beroperasi secara francais di seluruh Sarawak termasuk 14 di Kuching dan beberapa lagi di Bintulu, Miri dan lain-lain.

Manakala, sejumlah 300 pusat prasekolah serupa beroperasi di seluruh Malaysia. Operasi perniagaan francais ini bermakna ia membuka peluang kepada mereka yang ingin menubuhkan perniagaan tadika dengan mudah dan terus melalui bimbingan pembekal Program Smart Reader Worldwide dan Aim Smart Academics.

Adakah Smart Reader Kids menetapkan syarat kelayakan terhadap pemilihan guru untuk mengajar di sini?

Di Smart Reader Kids, kami bukan sahaja mementingkan pendidikan awal kanak-kanak, namun sentiasa memastikan kualiti pendidik terjamin dan dipertingkatkan melalui latihan berterusan anjuran Smart Reader Worlwide.

Ini penting bagi memastikan kualiti pelajar keluaran Smart Rreader Kids sentiasa terjamin. Oleh itu, kelayakan yang disyorkan bagi mana-mana tadika Smart Reader Kids yang disyorkan adalah sekurang-kurangnya pada tahap ijazah.

Bakal pendidik yang mempunyai ijazah dalam pendidikan awal kanak-kanak sentiasa diutamakan, namun pemegang ijazah dalam manamana bidang juga diberikan pertimbangan sewajarnya.

Selain itu, mereka yang berminat untuk menjadi pendidik di sini juga dikehendaki untuk menjalani latihan yang diberikan oleh Smart Reader Worlwide.

Latihan ini merupakan salah satu syarat wajib untuk diambil sekiranya mereka ingin menjadi pendidik di tadika ini. Latihan dan penilaian kualiti pendidik yang intensif ini bagi memastikan mereka layak dan mempunyai keupayaan yang menepati kehendak pihak pengurusan.

Sekiranya mereka lulus dan menepati kriteria penilaian latihan, mereka boleh menjadi pendidik dan mengajar tadika Smart Reader Kids.

Adakah guru di sini hanya terbuka kepada warga tempatan? Jumlah guru yang mengajar untuk setiap subjek yang disediakan?

Guru-guru di sini 100 peratus masyarakat tempatan, mengikut ketetapan kerajaan. Mereka akan mengajar kanak-kanak mengikut subjek yang ditetapkan berdasarkan kursus yang diambil. Setiap tujuh subjek akan diajar oleh guru yang berbeza, mengikut kesesuaian latihan dan kursus yang diikuti mereka. Dengan itu, setiap guru juga akan ditetapkan untuk mengajar sekurangkurangnya 12 murid di dalam satu kelas.

Bagaimana pula nasib guru yang mendidik di tadika ini sepanjang Covid-19?

Memandangkan sistem pengajaran dan pembelajaran dilakukan seperti biasa, maka gaji guru juga seperti biasa. Kami tidak melakukan sebarang pemotongan gaji kerana mereka tetap bertugas dengan mengadakan kelas secara dalam talian kepada kanak-kanak. Gaji yang ditetapkan kepada guruguru di sini juga selaras dengan pusat tadika lain.

Mengapa pemilihan sekolah pendidikan awal kanak-kanak sangat penting dalam kalangan ibu bapa?

Pendidikan awal merupakan asas bagi anak-anak. Untuk itu kita perlu memberikan permulaan yang baik demi masa depan mereka. Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak diberi pendidikan yang terbaik tanpa mengira keadaan. Zaman kanak-kanak merupakan satu detik yang tidak dapat dikembalikan.

Kita juga perlu sentiasa mengikuti peredaran era yang semakin berkembang. Untuk itu, ibu bapa perlu bijak membuat pilihan untuk menghantar anak mereka lebih awal ke sekolah. Di Tadika Smart Readers Kids, anak-anak boleh didaftarkan sejak berusia empat tahun lagi bergantung keperluan ibu bapa.

Bagaimana pula persaingan Tadika Smart Reader Kids dengan tadika lain?

Dalam aspek pengajaran, tadika ini menyediakan sistem pembelajaran yang menyeluruh kepada kanak-kanak. Hal ini kerana, kita bukan sahaja memfokuskan bidang akademik, malah berhasrat untuk melahirkan pelajar yang kreatif dan berani menyesuaikan diri di tempat umum.

Dengan itu, pelbagai program kita laksanakan untuk pelajar termasuk pertandingan pengucapan awam dan bercerita mengikut tahap umur mereka. Kami mendedahkan mereka terhadap penggunaan teknologi pintar yang mungkin kurang digunakan oleh tadika lain.

Kebiasaannya, kanak-kanak tadika keluaran Smart Reader Kids mampu menguasai sukatan pelajaran yang diajar termasuk membaca sebelum memasuki alam persekolahan seterusnya. Semua itu adalah kepentingan yang diperlukan untuk masa depan mereka.

Kita juga sentiasa mementingkan kualiti pendidikan anak-anak tanpa mengira keadaan dan situasi. Smart Reader Kids juga giat menjalankan aktiviti amal untuk membantu kanak-kanak yang kurang berkemampuan. Antaranya, menganjurkan pelbagai program seperti larian amal untuk dimasukkan ke dalam tabung khas yang kami sediakan. Dana yang diperoleh akan disalurkan kepada golongan yang memerlukan untuk meringankan beban mereka.

Memandangkan Smart Reader Kids juga menawarkan peluang perniagaan, apakah nasihat puan kepada mereka yang meminati bidang pendidikan awal kanak-kanak?

Selain melahirkan kanak-kanak pintar, kami juga telah melahirkan ramai usahawan pendidikan ataupun dikenali sebagai edupreneur. Seperti yang diketahui umum, Smart Reader Kids adalah perniagaan francais yang akan membimbing usahawan dari peringkat awal hingga seterusnya.

Tidak dinafikan ketika pandemik ini banyak sektor perniagaan yang terjejas teruk, namun industri pendidikan awal kanak-kanak tidak begitu terjejas jika dibandingkan dengan industri lain. Kami sebagai francaisor komited untuk terus memberi sokongan dan bimbingan dalam semua keadaan kepada semua pengusaha tadika kami. Yang pasti, pendidikan awal kanak-kanak amat penting dan perlu diteruskan walau dalam apa-apa juga keadaan. Pelbagai langkah proaktif dan adaptasi juga dilaksanakan bagi memastikan kanak-kanak tidak tercicir daripada pendidikan yang berkualiti.

Apakah harapan terhadap sektor pendidikan awal kanakkanak di Sarawak?

Kami akan menubuhkan satu lagi pusat tadika baharu di kawasan Green Heights, Kuching yang akan dilancarkan secara rasmi bulan depan. Setakat ini, kita mempunyai 14 pusat di Kuching dengan populasi hampir 1,000 pelajar sementara masing-masing ada satu di Sibu, dan dua di Miri dan Bintulu.

Kami menyasarkan untuk memiliki Smart Reader Kids di seluruh Sarawak terutamanya di bandar-bandar besar dan akan menerokai bahagian lain yang masih belum mempunyai pusat ini, seperti di Sri Aman, Kapit dan sebagainya.

Saya berharap, agar ibu bapa lebih peka dan sedar akan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak sebagai satu proses satu langkah ke depan untuk memajukan prestasi diri anak-anak mereka.

Smart Reader Kids dapat dihubungi di talian SMARTline 1300-88-5555 ataupun 082- 232555 untuk maklumat lanjut.

Selain itu, ibu bapa juga boleh melayari laman web Smart Reader Worldwide ataupun di media sosial Facebook dan Instagram @smartreaderworldwide.

Suara Sarawak