ARTIKEL

UiTM tiang harapan anak bangsa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEBAGAI sebuah daripada institusi pendidikan tinggi utama di Borneo, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pendidikan dan pembangunan modal insan negeri ini.

Mula ditubuhkan pada 1 Julai 1973 dengan kampus pertamanya Institut Teknologi MARA (ITM) di Samariang.

Hari ini, UiTM Sarawak mempunyai beberapa kampus termasuk terletak di Kota Samarahan – Kampus Samarahan 1 dan Samarahan 2 serta Kampus Mukah.

Dengan lebih 70 program akademik merentasi pelbagai disiplin, universiti ini bukan sekadar pusat pengajian tinggi, ia wadah pembangunan sosial, ekonomi dan teknologi bagi rakyat Sarawak, khususnya golongan bumiputera dan pelajar luar bandar.

Bahkan, UiTM Sarawak turut menonjol sebagai institusi yang inklusif dengan hampir 70 peratus pelajarnya terdiri daripada golongan B40.

Melalui pelbagai inisiatif seperti Bank Makanan, Dapur Resipi dan Tabung Seri Kenyalang, universiti ini membuktikan akses kepada pendidikan bukan semata-mata tentang merit akademik, tetapi juga tentang tanggungjawab sosial dan empati terhadap pelajar yang memerlukan. 

Wawancara Timbalan Ketua Wartawan Suara Sarawak, ZARINA ABDULLAH dan jurugambar, GHAZALI BUJANG bersama REKTOR UITM SARAWAK, PROFESOR DR FIRDAUS ABDULLAH ini membuka gambaran menyeluruh tentang kekuatan, cabaran dan arah masa depan universiti ini.

Daripada soal kemasukan pelajar, kebolehpasaran graduan, hubungan dengan industri hinggalah kepada pengukuhan inisiatif lestari dan ekonomi digital, setiap perincian mencerminkan komitmen UiTM untuk kekal relevan dalam arus transformasi pendidikan tinggi negara.

SUARA SARAWAK: Sebelum kita membicarakan lebih lanjut mengenai UiTM Sarawak, boleh kongsikan serba sedikit mengenai latar belakang Profesor?

PROFESOR FIRDAUS: Saya merupakan anak kacukan Bidayuh dan Cina berasal dari Kampung Simpok, Serian. Kini berusia 54 tahun serta mendirikan rumah tangga dengan wanita dari Kelantan.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Catholic English, kemudian Sekolah Menengah St. Joseph’s, Kuching. 

Selepas itu, saya melanjutkan pengajian di UiTM selama setahun sebelum berangkat ke Perancis untuk melanjutkan pengajian.

Kemudian menyambung ijazah sarjana di United Kingdom, manakala ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Australia. 

Fokus utama saya dalam bidang pengurusan perniagaan dengan kajian dan penerbitan penyelidikan saya meliputi pelbagai bidang seperti pengurusan strategik, keusahawanan, kualiti perkhidmatan dan pengurusan projek. 

Apabila kembali ke Malaysia pada 1995, saya bekerja di Cahaya Mata Sarawak (CMS) selama kira-kira lima tahun.

Ia memberikan pengalaman industri yang sangat baik, namun antara 1997 hingga 1999 berlaku krisis ekonomi Asia yang menjejaskan banyak syarikat hingga akhirnya saya memilih beralih kepada sektor pendidikan.

Saya menyertai UiTM sejak 2000 dan hampir 20 tahun ini diberi tanggungjawab memegang pelbagai jawatan.

Pada 2022, saya dipindahkan ke UiTM Shah Alam sebagai Dekan Fakulti Pengurusan Perniagaan, yang merupakan fakulti terbesar di Malaysia dengan lebih 40,000 pelajar.

Sebelum itu, saya pernah menjadi Timbalan Rektor UiTM Sarawak selama kira-kira lima tahun. Kemudian pada Februari lalu, saya diminta untuk kembali ke tanah air tercinta dan diberi amanah menggalas tanggungjawab ini.

Saya anggap perjalanan ini sebagai gabungan seimbang antara pengalaman industri dengan akademik. 

Kami tertarik dengan pengalaman Profesor belajar di Perancis. Boleh kongsikan lebih lanjut?

Pada awal 1990-an, saya mengikuti program persediaan di Pusat Pendidikan Persediaan (PPP), yang kini dikenali sebagai Institut Pendidikan INTEC di bawah UiTM. 

Program ini direka khas untuk pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan semua kursusnya ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).

Saya mengikuti matrikulasi Perancis selama setahun di Malaysia sebelum berangkat ke Perancis untuk tiga setengah tahun pengajian untuk memperoleh diploma dan ijazah sarjana muda. 

Di sana, semua subjek diajar dalam bahasa Perancis dan ketika itu, sukar menemui orang yang boleh berbahasa Inggeris.

Namun mungkin ketika itu usia saya masih sangat muda, jadi saya dapat mengadaptasi dengan mudah, malah dalam tempoh setahun dapat menguasai bahasa mereka dengan mudah.

Cara terbaik untuk belajar bahasa — dengan hidup dan bergaul bersama-sama masyarakat tempatan, bukan sekadar belajar di dalam kelas. 

Saya masih ingat, pada waktu itu, saya boleh menulis dan bercakap bahasa Perancis lebih baik daripada penutur asal.

Sekarang saya masih boleh bertutur, walaupun tidak selancar dahulu.

Bahasa bukan sesuatu yang mudah dilupakan.

Mengenai UiTM pula, boleh Profesor jelaskan bagaimana sistem dan proses pengambilan pelajar?

UiTM berbeza daripada universiti lain, terutamanya dari segi kemasukan pelajar.

Untuk pengambilan September sahaja, UiTM menerima antara 120,000 hingga 130,000 permohonan daripada calon yang layak serta memenuhi syarat kemasukan.

Namun, kami hanya dapat menampung sekitar 40,000 pelajar sahaja bagi keseluruhan sistem UiTM di seluruh negara. Ini bermaksud hanya satu pertiga daripada calon yang layak diterima.

Proses pemilihan dijalankan melalui sistem merit automatik dengan calon yang mempunyai markah merit tertinggi akan diterima.

Selain itu, program seperti seni bina dan sains sukan memerlukan calon melalui proses temu duga sebelum mereka layak diterima.

Atas sebab itu, calon yang tidak diterima biasanya digalakkan memohon ke institusi pengajian tinggi lain. 

UiTM kini berbeza berbanding 20 atau 30 tahun dahulu.

Pada waktu itu, universiti ini menerima hampir semua calon yang layak.

Namun kini, dengan peningkatan kualiti pendidikan, persaingan tinggi dan kekangan tempat, kami perlu lebih selektif dengan memilih yang benar-benar terbaik.

Untuk memasuki UiTM hari ini jauh lebih mencabar berbanding dahulu dan ini menunjukkan peningkatan standard universiti secara keseluruhan.

Jumlah program yang ditawarkan di UiTM Sarawak?

Secara keseluruhan, UiTM Sarawak menawarkan 70 program.

Daripada jumlah itu, terdapat lima program pradiploma yang kesemuanya dijalankan di Kampus Mukah untuk tempoh enam bulan, iaitu jurusan perdagangan, sains, agroteknologi, pengajian Islam serta STEMC dan sastera.

Pradiploma ini berfungsi sebagai persediaan kepada program diploma dengan calon diberi kemudahan penginapan percuma, yuran pengajian percuma serta elaun. 

Ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) universiti yang dahulu dikenali sebagai Mengubah Destini Anak Bangsa dan kini dijenamakan semula sebagai Program Prapendidikan Tinggi, bertujuan memberi peluang kepada calon yang tidak mencapai lima kepujian penuh, terutama pelajar dari luar bandar dan kumpulan B40.

Malah dibiayai menggunakan dana hasil aktiviti universiti dan sumbangan pelbagai pihak. Kewujudan UiTM sendiri adalah untuk mengubah status sosioekonomi rakyat.

Ramai pelajar dari pedalaman tidak mendapat akses kepada sekolah yang baik dan tidak memperoleh keputusan cemerlang, tetapi mereka sebenarnya pelajar yang berpotensi.

Jadi kami ambil mereka walaupun dengan kelayakan rendah, untuk digilap dan dibimbing supaya berjaya.

Banyak kes menunjukkan pelajar yang memulakan pengajian di peringkat pradiploma akhirnya menjadi pemegang PhD, menteri atau ketua pegawai eksekutif.

Bagi diploma pula, berapa banyak kursus yang ditawarkan di UiTM Sarawak?

Kami mempunyai 25 program diploma yang sangat pelbagai, meliputi bidang sains, teknologi, sains gunaan, kemanusiaan dan perniagaan. 

Dalam bidang sains dan teknologi, kami menawarkan kursus Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektronik, Seni Bina, Ukur Bahan dan Sains Gunaan.

Bidang elektronik yang kini menjadi fokus besar Kerajaan Sarawak.

Bagi bidang kemanusiaan dan sains sosial, kami menawarkan Pentadbiran Awam.

Dalam bidang perniagaan pula terdapat program Kewangan, Pemasaran, Perakaunan dan Pengurusan Teknologi Pejabat. 

Kepelbagaian ini penting kerana semua program direka untuk memenuhi keperluan negeri dan negara. Sebagai contoh, di Kampus Mukah terdapat program Pengeluaran Herba dan Akuakultur.

Ia diperkenalkan untuk menyokong inisiatif Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) yang memberi tumpuan kepada biodiversiti Sarawak, begitu juga akuakultur untuk pembangunan bidang itu di negeri ini. 

Kepelbagaian program ini diperkenalkan di Sarawak kerana ramai pelajar kita datang daripada keluarga B40 dan lebih memilih institusi dalam negeri.

Faktor inilah yang mendorong kami menawarkan sebanyak mungkin program supaya para pelajar dapat melanjutkan pengajian tanpa perlu meninggalkan negeri.

Dengan cara ini juga, kita dapat melatih, membimbing dan membentuk bakat tempatan agar mereka boleh menyumbang kepada pembangunan negeri. 

Bagaimana pula dengan program ijazah sarjana muda dan peringkat seterusnya?

UiTM Sarawak kini menawarkan 13 program ijazah sarjana muda merangkumi bidang kejuruteraan, perniagaan, perakaunan dan sains komputer, yang semuanya direka untuk memenuhi keperluan semasa industri. 

Selain itu, kami juga mempunyai 15 program sarjana termasuk sarjana melalui penyelidikan dan kerja kursus.

Sarjana melalui kerja kursus selama dua tahun dengan beberapa subjek setiap semester dan kelas pada setiap hujung minggu.

Bagi program penyelidikan, tiada kelas tetap kecuali satu atau dua sesi taklimat pada hujung minggu. Selepas itu, pelajar akan menjalankan penyelidikan sendiri di bawah seliaan penyelia masingmasing. 

Untuk peringkat PhD pula, kami mempunyai 12 program, dengan yang berasaskan penyelidikan, yuran sekitar RM1,500. 

Dalam tempoh tiga tahun, jumlah keseluruhan hanya RM9,000.

Yuran program sarjana juga berbeza.

Untuk sarjana kerja kursus, yuran keseluruhan sekitar RM20,000.

Namun bagi sarjana penyelidikan, yurannya jauh lebih rendah hanya RM4,000 untuk dua tahun atau kira-kira RM1,000 setiap semester. 

Begitu juga dengan yuran diploma dan ijazah sarjana muda yang hanya sekitar RM500 hingga RM600 setiap semester.

Yuran ini amat murah jika dibandingkan dengan universiti lain kerana kadar ditetapkan oleh Jemaah Menteri sejak 1973 dan tidak pernah disemak semula. 

Daripada kesemua program, yang mana mendapat permintaan paling tinggi di Sarawak?

Secara umumnya, hampir semua program di UiTM Sarawak mendapat permintaan tinggi terutama yang diiktiraf oleh badan profesional kerana menjamin prospek pekerjaan.

Sebagai contoh Ijazah Sarjana Muda Seni Bina yang sentiasa mendapat permintaan tinggi kerana diiktiraf oleh Lembaga Arkitek Malaysia (LAM), begitu juga dengan program ukur bahan, kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik dan kejuruteraan kimia, perakuanan serta kejururawatan.

Salah satu contoh program yang mendapat permintaan sangat tinggi adalah diploma dan Ijazah Sarjana Muda Sains Perladangan dan Agroteknologi.

Malah, sebelum pelajar menamatkan pengajian, kebanyakan mereka telah pun ditawarkan pekerjaan oleh syarikatsyarikat perladangan. 

Bahkan program ini sangat terhad kerana setiap semester kami hanya membuka sekurang-kurangnya dua atau tiga kelas, dengan maksimum 30 pelajar bagi setiap kelas. 

Bagaimana pula dengan kadar kebolehpasaran?

Sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi ialah 90 peratus. 

Setakat ini, seluruh UiTM berjaya mencapai sasaran tersebut.

Ini bermakna 90 peratus daripada graduan UiTM Sarawak akan mendapat pekerjaan dalam tempoh kurang daripada enam bulan selepas tamat pengajian.

Selain itu, kekuatan unik kami ialah penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi yang menjadi bahasa utama pengajaran dan pembelajaran di sini.

Kekuatan lain yang kami miliki ialah pelibatan erat dengan industri. Hampir semua program kami mempunyai komponen latihan industri.

Sama ada di peringkat diploma atau ijazah, pelajar diwajibkan menjalani latihan di industri sekurang-kurangnya satu semester, kadangkala dua semester. 

Sebagai contoh, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dalam Pengurusan Aset akan ditempatkan di industri selama setahun setengah, bersamaan tiga semester. 

Ini bermaksud mereka mengikuti konsep 2U1I — dua tahun di universiti dan setahun di industri. Konsep ini seperti sistem di Jerman. 

Jadi apabila tamat pengajian, mereka akan terus diserap bekerja oleh industri.

Satu lagi keunikan UiTM ialah menjadikan keusahawanan sebagai subjek wajib.

Tidak kira program, setiap pelajar wajib mengambil satu subjek keusahawanan yang bertujuan membentuk graduan yang bukan sahaja boleh bekerja, tetapi juga dapat menjadi usahawan.

Sasaran kami ialah 90 peratus graduan menjadi pekerja, manakala 10 peratus menjadi majikan atau usahawan.

Kami turut menggalakkan para pelajar memulakan perniagaan mereka semasa masih belajar.

Oleh sebab itu, banyak kios dan ruang niaga disediakan bagi memberi peluang kepada pelajar menjalankan perniagaan sama ada secara dalam talian, luar talian atau menggunakan kemudahan universiti. 

Ini supaya apabila tamat pengajian, mereka dapat memilih sama ada untuk bekerja, menyambung pelajaran atau menjalankan perniagaan sendiri. 

Tahun lalu, seorang pelajar kami memenangi Anugerah Keusahawanan Negara dalam kategori pelajar.

Beliau berjaya memperoleh pendapatan kasar mencecah RM12,000 sebulan, hasil jualan makanan kering dari Sabah melalui platform dalam talian. 

Kami juga mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tersendiri bagi mengukur berapa ramai pelajar dan siswazah yang menjadi usahawan, termasuk jumlah mendaftar syarikat di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Dengan pelbagai pendekatan unik, mungkin kadar kegagalan agak sedikit di UiTM Sarawak?

Kami menetapkan sasaran supaya kadar kegagalan pelajar setiap semester berada di bawah satu peratus. 

Setakat ini, sasaran itu berjaya dicapai di seluruh sistem UiTM termasuk di Sarawak. 

Salah satu sebab utama kadar kegagalan rendah ialah kerana kami masih mengekalkan kaedah pengajaran yang menekankan hubungan rapat antara pensyarah dengan pelajar. 

UiTM tidak mengamalkan sistem kuliah besar seperti kebanyakan universiti awam lain yang menempatkan 200 hingga 300 pelajar dalam satu dewan.

Sebaliknya, kebanyakan kelas di hanya mempunyai sekitar 30 hingga 40 pelajar, membolehkan pensyarah memberi tumpuan lebih mendalam kepada setiap pelajar. 

Ini membolehkan pensyarah memahami kekuatan dan kelemahan pelajar dengan lebih baik serta membantu mereka memperbaiki prestasi.

Walaupun kaedah ini lebih memakan kos, inilah yang membezakan kami dan menjadi asas kepada keberkesanan sistem pengajarannya. 

Dalam pertemuan saya bersama Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Mac tahun lalu, saya nyatakan UiTM Sarawak kini melahirkan sekitar 3,000 graduan setiap tahun merangkumi diploma dan ijazah sarjana muda.

Daripada jumlah itu, 50 peratus merupakan graduan sains dan teknologi, manakala baki 50 peratus dalam bidang kemanusiaan, sains sosial dan perniagaan. 

Keseimbangan ini penting.

Kami mahu pembangunan ekonomi yang berasaskan teknologi, tetapi dalam masa sama tidak kehilangan nilai kemanusiaan.

Berapakah jumlah keseluruhan pelajar sekarang? Bagaimana pula trend kemasukan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini?

Jumlah pelajar semasa bergantung kepada pengambilan.

Sekiranya pengambilan Mac, bilangannya biasanya lebih kecil, sekitar 1,000 lebih pelajar.

Bagi pengambilan September biasanya hampir 2,000 pelajar. 

Jadi dalam setahun, secara purata kami menerima lebih kurang 3,000 pelajar baharu.

Jumlah keseluruhan pelajar aktif kini sekitar 9,000 hingga 10,000 orang dan angka ini konsisten setiap tahun.

Trend kemasukan juga kekal sama dengan kapasiti maksimum kami iaitu 12,000 pelajar.

Kami yakin UiTM sentiasa menjadi pilihan utama kerana faktor kualiti pengajaran dan pembelajaran, kadar yuran, kemudahan, tenaga akademik, kebajikan dan banyak lagi. 

Malah, kami amat menitikberatkan kebajikan pelajar. Sebagai universiti bumiputera, kami faham kebanyakan pelajar datang daripada keluarga sederhana atau kurang mampu.

Kami turut menyalurkan bantuan zakat kepada pelajar asnaf dengan kerjasama rakan korporat, malah memberi pengecualian bayaran kolej kediaman bagi yang tidak berkemampuan.

Sebagai contoh, jika pelajar gagal membayar yuran dan membuat permohonan bantuan, kami akan membayar bagi pihak mereka.

Kami juga ada inisiatif seperti bank makanan yang terletak di satu daripada bangunan kampus.

Ia berfungsi seperti kedai serbaneka.

Pelajar boleh datang dan mengambil makanan di situ dengan had maksimum RM30. 

Bahkan terdapat aplikasi khas untuk pelajar membuat pesanan dalam talian terlebih dahulu sekiranya stok tidak mencukupi.

Apakah harapan Profesor terhadap UiTM Sarawak dalam menyokong agenda pembangunan negeri selaras Strategi Pembangunan PascaCOVID-19?

Untuk kelestarian alam sekitar, kami sedang menuju ke arah menjadi kampus hijau dan kampus pintar.

Sekarang pun sudah berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran ini melalui inisiatif projek solar, pengurangan pembaziran dan pelaksanaan sistem pintar di kampus. 

Selain itu, UiTM Sarawak satusatunya kampus yang menerima pengiktirafan Reben Biru, iaitu pengiktirafan sebagai kampus bebas asap rokok. Kami juga merupakan kampus pertama yang disahkan oleh JAKIM sebagai zon halal.

Semua makanan dan minuman yang dijual di kampus disahkan halal sepenuhnya.

Universiti ini turut menumpukan kepada inovasi sosial melalui kerjasama rapat dengan pelbagai komuniti dan mendapat sokongan kerajaan negeri dalam bidang keusahawanan, pengkomersialan, promosi dan pembungkusan produk.

Dalam masa yang sama, banyak aktiviti bersama-sama komuniti dalam bidang STEM dijalankan untuk menggalakkan pelibatan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Kami juga mewujudkan makmal STEM, iaitu sebuah makmal lengkap dengan peralatan dan bahan pembelajaran supaya pelajar boleh meneroka bidang ini dengan bimbingan guru dan fasilitator UiTM.

Selain itu, semua program akademik kami juga direka agar selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak, terutamanya dalam bidang komputer, dibentuk supaya memenuhi keperluan ekonomi digital masa depan. 

Semua program akademik UiTM disertakan dengan elemen teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan Internet Pelbagai Benda (IoT) bagi memastikan pelajar bersedia menghadapi masa depan ekonomi digital.

Seterusnya aktif menjalankan penyelidikan bersama kerajaan negeri dalam bidang tenaga boleh diperbaharui terutamanya hidrogen dan alga sebagai alternatif tenaga boleh diperbaharui. 

Kini kami sedang menjalankan penyelidikan lanjut berkaitan jejak karbon dan kredit karbon yang akan kami bentangkan kepada Premier tidak lama lagi.

Antara inisiatif lain ialah menjadikan kampus UiTM sebagai tapak penyelidikan padi bagi seluruh Sarawak. 

Melalui model ini, komuniti digalakkan bekerjasama dalam rangka keusahawanan supaya mereka dapat menjana pendapatan sendiri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU