ARTIKEL

PENYAMPAIAN HADIAH... Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan replika cek kepada barisan pemenang Piala Premier Sarawak Regata Baram 2026. Foto UKAS

Lakin Belaga Uma Kahei juara, bawa pulang RM15,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MARUDI: Pasukan Lakin Belaga Uma Kahei muncul juara kategori Perahu Kayuh Tidak Terhad (Terbuka) Piala Premier Sarawak Regata Baram 2026 dalam persaingan sengit yang berlangsung di Sungai Baram pada Sabtu.

Pasukan yang menggunakan perahu bernama Lakin Belaga 9 itu mencatat masa 12 minit 13.5 saat, hanya 0.3 saat mengatasi Singgah Tagal 1 yang merekodkan 12 minit 13.8 saat, manakala Taming Sari N76 menduduki tempat ketiga dengan catatan 12 minit 13.11 saat.

Kemenangan dalam kategori perahu kayu terbuka itu membolehkan Lakin Belaga Uma Kahei membawa pulang wang tunai RM15,000 berserta piala.

Sementara itu, Singgah Tagal 1 yang muncul naib juara menerima RM8,000, manakala Taming Sari N76 di tempat ketiga membawa pulang RM6,000.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil, berkata Regata Baram 2026 menerima sambutan menggalakkan dengan 225 penyertaan termasuk dari Brunei Darussalam membabitkan pelbagai kategori.

“Peserta bukan sahaja datang dari Baram, malah turut disertai wakil dari Brunei Darussalam serta beberapa bahagian lain di Sarawak termasuk Lawas, Sibuti, Mukah, Dalat, Belaga dan Miri,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Regata Baram 2026 berkata antara pertandingan yang dianjurkan termasuk acara powerboat melibatkan 21 kategori dengan penyertaan 64 pasukan dan 162 bot, manakala acara perahu kayuh membabitkan 23 pasukan menggunakan 63 perahu.

“Kejohanan tahun ini turut membawa pembaharuan dengan mengangkat tema Keamanan, Perpaduan dan Kemajuan.

“Tema tersebut mencerminkan aspirasi masyarakat Baram yang menjunjung keamanan, perpaduan dan keharmonian sejak lebih satu abad lalu,” jelasnya.

Tahun ini, Regata Baram mempertandingkan lima piala utama iaitu Piala Premier Sarawak bagi acara kayuh tidak terhad kategori terbuka (kayu), Piala Petra Energy Berhad bagi acara kayuh tidak terhad kategori terbuka (fiber/kayu), Piala Etnik Gemilang Yayasan Perpaduan bagi acara kayuh 30 lelaki kategori terbuka (fiber/kayu), Piala Unity Baram Regata Yayasan Perpaduan bagi acara kayuh tidak terhad kategori terbuka (kayu) serta Piala Raja Batang Regata Baram bagi acara kayuh tidak terhad kategori terbuka (fiber/kayu).

Dalam pada itu, majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Tebingan Sungai Marudi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU