KUCHING: Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak (LAKKMS) memperkukuh tadbir urus persatuan Melanau di seluruh Sarawak menerusi pemantapan pengurusan organisasi, kewangan dan pematuhan peraturan.
Pengerusinya Datuk Awang Zamhari Awang Mahmood berkata pengurusan yang baik perlu merangkumi aspek penyimpanan rekod, pengendalian mesyuarat serta pematuhan perlembagaan dan peraturan yang berkuat kuasa.
“Langkah ini penting bagi memastikan setiap keputusan dan tindakan persatuan dilaksanakan secara teratur, telus dan bertanggungjawab,” katanya pada Seminar Pengurusan dan Tadbir Urus LAKKMS di sini, hari ini.
Beliau berkata pendekatan berkenaan turut membantu persatuan berdepan cabaran pengurusan yang semakin kompleks, selain memastikan organisasi terus berdaya maju dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Seminar ini disertai kira-kira 40 pemimpin persatuan Melanau dari Kuching, Sibu, Sarikei, Matu Daro, Mukah, Balingian, Bintulu dan Miri.
Dalam pada itu, LAKKMS turut menyampaikan insentif kecemerlangan akademik kepada 75 anak masyarakat Melanau yang mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
LAKKMS berharap persatuan-persatuan Melanau dapat terus berperanan sebagai rakan strategik dalam memperkukuh perpaduan masyarakat serta memastikan masyarakat Melanau terus maju dan terlibat dalam dasar serta pembangunan Sarawak.






