KUCHING: Pengukuhan tadbir urus kewangan menjadi teras pemeteraian perjanjian pembayaran balik dividen berjumlah RM9.825 juta antara Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) dengan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun.
Majlis pemeteraian perjanjian itu disaksikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi LAKMNS di sini, hari ini.
Simbolik penyerahan replika cek disempurnakan oleh Setiausaha Kehormat LAKMNS, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Datuk Husain kepada Pengerusi LAKIB, Iskandar Turkee.
Perjanjian berkenaan dimeterai bagi memperkukuh pengurusan kewangan kedua-dua organisasi, selain memastikan kelangsungan pelaksanaan program kebajikan serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Melalui pelaksanaan perjanjian itu, dana yang diterima oleh LAKIB dijangka dapat memperkukuh kedudukan kewangan organisasi berkenaan, sekali gus membolehkan program kebajikan dan inisiatif sosial dilaksanakan secara berterusan demi manfaat masyarakat.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi LAKMNS Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Pengerusi LAKIB Datuk Haidar Khan Asghar Khan, ahli-ahli lembaga LAKMNS serta Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Datuk Abdul Hadi Abdul Kadir.



