KOTA SAMARAHAN: Perkembangan semasa projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) terus mendapat perhatian khususnya melibatkan Pakej 1 Laluan Biru di Kota Samarahan yang dijadualkan siap pada penghujung tahun ini.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang turut mengikuti sesi Taklimat Koordinasi Projek KUTS di Bilik Muhibah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan, di sini, semalam.
Menurutnya, menerusi taklimat tersebut beliau telah diberikan penjelasan mengenai pelaksanaan projek KUTS yang sedang rancak dilaksanakan di kawasan ini.

“Dalam pertemuan ini, pelbagai isu dan cabaran sepanjang pelaksanaan projek juga telah dikemukakan dan dibincangkan secara terperinci.
“Antaranya termasuk aspek pengurusan trafik, pematuhan dasar keselamatan serta perancangan operasi sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang akan beroperasi pada selang masa setiap 10 minit bagi memastikan kelancaran perkhidmatan kepada pengguna,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan isu banjir yang sebelum ini menjejaskan kawasan Kampung Plaie dan Sungai Batu di sini turut diberi penjelasan, selain beberapa langkah penyelesaian turut dikemukakan.
Katanya, ia termasuk usaha menaik taraf serta membesarkan sistem perparitan bagi membolehkan aliran air dikawal dengan lebih berkesan dan sistematik.
“Pada masa sama, perancangan masa hadapan turut diberi penekanan, khususnya dalam menjangka peningkatan jumlah kenderaan di kawasan sekitar termasuk di bulatan Entingan di sini.
“Justeru, cadangan pembinaan jalan baharu sepanjang 1.5 kilometer yang akan menghubungkan Jalan Kampung Meranek ke Jalan Residen dilihat sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan kesesakan trafik serta meningkatkan jaringan perhubungan setempat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata apabila siap kelak, sistem KUTS dijangka menjadi pemangkin transformasi pengangkutan awam di Samarahan melalui pengoperasian 38 unit ART serta 55 buah bas sokongan.
“Inisiatif ini bukan sahaja akan meningkatkan mobiliti rakyat, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan penduduk setempat.
“Kita komited memastikan setiap perancangan dilaksanakan secara teliti dan berkesan agar sebarang kemungkinan pada masa hadapan dapat ditangani lebih awal demi keselesaan dan keselamatan rakyat,” jelasnya.


